Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Tiada Harapan Hidup, Kuswadinata Kritikal

Print E-mail
  
Wednesday, 17 October 2012 02:16

..

Pelakon veteran Kuswadinata, 74, kini berada dalam keadaan tenat di Hospital Ampang akibat menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.

Bercakap kepada mStar Online, anak bongsunya Rizal, 23, berkata keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

"Sejak dimasukkan ke wad (Hospital Ampang) pada 7 Oktober lalu, ayah diminta berpuasa sehinggalah ke hari ini (Selasa) untuk mengurangkan pendarahan dalam badan.

"Tetapi doktor sudah menjelaskan pada kami sekeluarga bahawa ayah tiada harapan untuk hidup, walaupun daripada segi luarannya dia nampak sihat.

"Kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan menjaga dia sebaik mungkin serta menunaikan segala kehendaknya. Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.

Selain pendarahan usus, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang turut mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk beliau buang air kecil secara normal.

Isterinya, Kamariah Mohd Said, 57, berkata pada September lalu, Kuswadinata dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit yang sama. Kemudian ia melarat pada buah pinggangnya dan doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.

“Sekarang ini, sebelah kiri buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala di bahagian kanan pula semakin membengkak," ujarnya.

Selain Rizal, pelakon itu mempunyai tiga orang anak iaitu Jasmine, 27, Hafsham, 26 dan Irwan, 25.

 

- mD

 

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.