.
Pelakon jelita Erra Fazira teruja untuk berkongsi pendapat dalam apa jua topik mengenai isu-isu semasa dan 'panas' yang melibatkan kaum hawa dalam program bual bicara terbaru yang dikendalikannya berjudul, Primadona - Bila Wanita Berbicara. Malahan sendainya topik yang dibincangkan itu pernah dialami, figura yang mendapat jolokan primadona Melayu ini bersedia dan terbuka untuk berkongsi pengalaman peribadinya sendiri dengan penonton.
"Saya rasa program ni adalah satu platform yang memang sesuai untuk kita kaum wanita berkongsi dan luahkan pandangan mengenai apa saja topik. Kalau pun ada antara topik yang pernah saya lalu, tengok juga sejauh mana kita nak berkongsi.
"Sebenarnya host diberi satu minit saja setiap seorang untuk berkongsi pendapat atau luahkan pandangan. Dan selebihnya kita menyelit-nyelit saja dan keluarkan point dan fakta. Sebab, lagipun Primadona bukanlah bercerita tentang hostnya tapi kita juga ada undang panel yang terdiri daripada personaliti dari pelbagai bidang. Ada personaliti, ada ustaz, ada doktor dan sebagainya. Panel kita pun datang dengan membawa macam-macam cerita", kata Erra Fazira ketika ditemui di majlis sidang media program bual bicara wanita pertama di saluran Astro Prima itu.
Ini juga merupakan kali pertama Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek mengendalikan sebuah program bual bicara. Tidak keseorangan, Erra turut ditemani tiga lagi figura berpengaruh iaitu Ziela Jalil, Raja Azura dan Rozita Che Wan juga sebagai host program berkonsepkan menyelami hati wanita itu.
Sebagai orang baru dalam bidang pengacaraan, Erra mengakui tugas yang dipikul cukup mencabar. Katanya, walau sibuk mana sekalipun dia perlu membuat persiapan awal mengenai topik yang akan diperbincangkan sebelum memulakan rakaman.
"Nak jadi host ni rupanya susah. Kena buat research dan pengetahuan kena meluas. Memang mencabar lah. Tambahan macam kita yang memang sibuk, manakan nak berkejar ke set penggambaran lagi.
"Setakat ni baru sekali saja rakaman dijalankan iaitu mengenai topik 'Sakit Untuk Cantik'. Saya akui banyak yang kami perlu perbaiki lagi. Program ni merupakan satu rancangan yang menarik. Apatah lagi buat pertama kali mengandingkan empat pengacara yang masing-masing antara kami ada kelebihan", katanya.
Gandingan 4 diva. Erra, Raja Azura, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan sebagai host 'Primadona'
Sementara itu mengulas mengenai gandingannya bersama tiga lagi personaliti, Erra memberitahu dia cukup berbesar hati dapat bekerjasama dengan mereka. Katanya, tiada sedikit pun timbul perasaan siapa mahu lebih menonjol kerana masing-masing punya peranan yang tersendiri sepanjang dalam program berkenaan.
"Seperti mana yang kita tahu, tiga orang tak ada pengalaman mengacara, dan seorang iaitu kak Engku, berpengalaman dan sudah biasa mengacara. Tapi setiap daripada kami cuba untuk tidak nampak keterlaluan. Kami bertiga pun tak nak nampak tenggelam.
"Tak ada caras mencaras dalam Primadona. Masing-masing ada peranan. Macam saya, saya lebih neutral. Ziela Jalil, diibarat seperti Kak Long kami. Kalau bahagian tentang cantik-cantik dan kelakar, yang itu diserahkan pada Che Tah yang dengan siap loghat bahasa Kedahnya lagi. Kak Engku pula akan meng-hype-kan lagi suasana", jelasnya yang bakal menjalani penggambaran telefilem Demi Kamu Cinta, hujung bulan ini.
Primadona mengupas pelbagai isu tentang wanita melalui sudut pandangan dan perspektif yang berbeza setiap minggu. Selain itu para penonton juga boleh mendapatkan informasi terkini dan tips berguna mengenai keselamatan, kecantikan, kesihatan dan sebagainya. Program berdurasi satu jam ni bakal bermula pada 2 November 2012, jam 9 malam menerusi Astro Prima (saluran 105).
- mD