.
Bahang Anugerah Industri Muzik edisi ke 19 (AIM19) semakin terasa. Dan semalam telah diumumkan pengacara, barisan penyampai juga barisan artis hebat yang bakal membuat persembahan di malam anugerah berprestij itu.
Buat julung kalinya, gandingan dua personaliti dan pengacara TV popular iaitu Aznil Hj. Nawawi dan Adibah Noor diberi mandat menggalas tanggungjawab sebagai hos AIM19. Berbekalkan pengalaman kedua-dua mereka ditambah dengan kelebihan pandai berjenaka dan mencuit hati, kami kira gandingan AA (Aznil dan Adibah) memang tepat dan tentunya akan menghidupkan lagi malam anugerah tersebut.
Ketika ditemui di sidang media pengumuman tersebut, semalam, Aznil berkata untuk pengacaraanya kali ini dia akan memperkenalkan satu pendekatan baru iaitu sedaya upaya dia bersama Adibah Nor akan menyelamatkan rancangan 2 jam setengah itu daripada melebihi waktu siaran (overrun).
Ini kerana seperti tahun tahun sudah, malam anugerah yang mengiktiraf para penggiat muzik tanah air ni seringkali mengalami masalah siaran yang telalu panjang.
Jelas Aznil, sebelum ini beberapa kesilapan dilakukan para penyampai anugerah seperti bergurau-senda secara berlebihan dan meleret atau beraksi bingung ketika di pentas menjejaskan kelancaran acara.
"Kami akan gunakan pengalaman pengacaraan kami selama ini untuk menghidupkan AIM19. Saya akan perkenalkan satu pendekatan baru untuk menjimatkan masa.
"Pada kali ini, kami mahu mengawal kekurangan itu dengan muncul bersama setiap kali penyampai anugerah mahu menyampaikan trofi. Kami perlu bijak mengimbanginya agar ia ceria dan tidak meleret. Kami juga akan selitkan elemen usik-mengusik bagi menghangatkan malam itu nanti.
"Kami juga akan pastikan perjalanan acara tidak terlalu panjang. Dan paling penting malam itu nanti lebih berprestij dan kita tidak mahu ia dilihat sebagai anugerah yang diperlekehkan.
"Kalau pendekatan yang kami bawakan nanti menjadi, siapa tahu ia akan menjadi ikutan di anugerah-anugerah lain. Kalau ia tak menjadi, biarlah ia hanya jadi sejarah", kata Aznil Hj. Nawawi.
Manakala Adibah Noor pula berkata, gurau-senda mereka nanti bukanlah mahu mengaibkan sesiapa. Sebaliknya ia sekadar memeriahkan majlis.
Sementara itu, Awal Ashaari bersama Dahlia Syazwan yang telah menempa nama dari program On Air pula akan mewawancarakan secara langsung tetatmu kenamaan dan barisan artis yang menyusuri 'Karpet Glamor', setengah jam sebelum acara utama bermula.
Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan di AIM19 nanti.
Selebriti seperti Faizal Tahir, Tam Spider, Nora Danis, Hattan dan Dato' Fazley adalah di kalangan penyampai ternama pada malam anugerah tersebut.
Tidak lengkap AIM19 tanpa pesembahan artis. Sebagai menghilangkan sikit debaran para finalis, AIM19 bakal menampilkan persebahan dari barisan artis baru dan yang berstatus bintang termasuklah Dato' Siti Nurhaliza, Hafiz, Mojo, Jimmy Palikat, One Nation Emcees, Shila Amzah, Lefthanded dan Forteen.
Jika tahun lalu bintang dari Amerika Syarikat hadir menyemarakkan lagi anugerah, tahun ni diterbangkan khas dari seberang, Nirwana Band yang akan turut menggegarkan pentas AIM19.
Bertemakan Black& White Glam Glitz, malam kemuncak segalanya AIM19 bakal berlangsung pada 17 November (Sabtu), di Stadium Melawati, Shah Alam, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104).
- mD