|
|
|
Monday, 30 July 2012 12:15 |
.
Di dalam laporan akhbar Harian Metro hari ini, pengacara juga pelakon Daphne Iking mendedahkan dia mempunyai kelebihan boleh melihat mahkluk halus. Mengimbas semua kisah dua tahun lalu, cerita Daphne, ketika itu kru dan pelakon pelakon filem Belukar termasuklah dirinya sedang menjalani penggambaran di kawasan hutan di Labuan, Sabah.
“Keadaan ketika itu kira-kira jam 2 pagi dan kawasan sekeliling sangat sunyi. Kru dan pelakon terkejut melihat saya muncul pada pagi itu seperti tiada apa yang berlaku. Apabila mereka bertanya kepada saya apa yang sebenarnya terjadi semalam, lagilah saya tak faham dan memang saya tak ingat apa-apa langsung. Apa yang saya tahu, semalam saya melakukan watak saya sebagai Eva iaitu seorang penipu insurans profesional.
“Rupa-rupanya cerita mereka, malam itu saya seperti dirasuk meracau tak tentu pasal dan turut memarahi pengarah filem ini, Jason. Macam-macam perkataan keluar daripada mulut saya dan ketika itu mereka semua tergamam. Saya seperti dah hilang ingatan. Terkejut saya mendengar cerita mereka kerana saya betul-betul tak sedar apa yang terjadi.
“Kata jurukamera filem itu dalam lensanya, tempat yang saya berdiri itu terdapat enam biji batu nisan yang seolah-olah mengelilingi saya. Bagaimanapun, batu nisan itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, ia hanya kelihatan samar-samar dalam rakaman kamera.
“Tempat yang saya perlu menjatuhkan diri itu pula terdapat satu batu nisan yang besar dan ia terkena leher saya sehingga menyebabkan saya terasa sakit, cuma saya tak tahu saya jatuh atas objek apa kerana kawasan itu di alas tilam tebal yang kemudian ditabur dengan daun kering.
“Selepas mereka menceritakan kejadian itu, saya terus minta maaf kepada semua orang terutama Jason kerana saya memang tak sedar. Mujur mereka memahami keadaan saya dan kawasan itu pun sangat ‘keras’ dan mereka tahu apa yang saya jeritkan pada mereka malam itu bukanlah datang daripada diri saya yang sebenar,” katanya.
Oleh kerana ‘kelebihan’ yang dianugerahkan Allah itu kepadanya dan pengalaman seram yang dilaluinya sendiri, pihak produksi My Ghost Story Asia berasakan Daphne paling layak mengendalikan program itu.
Program itu mengundang mereka yang pernah melalui situasi menyeramkan menceritakan semula pengalaman yang mencemaskan itu kepada Daphne untuk tatapan penonton.
My Ghost Story Asia akan mula disiarkan pada 16 Ogos ini, setiap Khamis, jam 10 malam di saluran Astro 731. Semua cerita itu dirakamkan daripada orang yang pernah melalui kejadian itu sendiri. Mereka berasal dari negara ini dan juga Singapura.
-mD
|