.
Bagi anda pendengar setia radio Suria FM, nama penyampai Subi, Myra dan Zizi pasti bukan asing bagi anda. Namun, kini tiada lagi kedengaran celoteh ketiga-tiga penyampai ini kerana masing-masing telah memilih haluan sendiri, atau lebih tepat, mereka telah keluar dari Suria FM, mencari angin baru. Subi dan Zizi difahamkan menerima tawaran sebagai perunding di Indonesia. Manakala Myra khabarnya beralih ke sebuah stesen radio baru.
Apapun, patah tumbuh hilang berganti. Bersempena kedatangan bulan mulia, bulan Ramadhan, stesen radio yang menggunakan tagline 'Ceriakan Duniamu' ni telah memperkenalkan tiga ahli keluarga baru Suria FM.
Figura yang tidak asing lagi dalam penerbitan radio negara, Kudsia Khar telah menyertai salah sebuah stesen radio di bawah kumpulan media The Star ni sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran Star Group, sejak 16 Julai lalu. Sekaligus beliau juga bertanggungjawab ke atas tiga lagi stesen radio di bawah kumpulan media The Star iaitu Capital FM, Red FM dan 988.
Manakala Bekas Ketua Bahagian Program, Lite FM iaitu Adiwati Din Osman juga turut menyertai Suria FM menjawat jawatan serupa.
Turut bersama Kudsia dan Adiwati menyertai Suria FM ialah bekas deejay Era FM iaitu Reza Mohamad sebagai salah seorang penyampai baru yang akan mengendalikan segmen Menu Ceria Suria, jam 10 pagi sehingga 1 petang.
Keluarga Baru Suria FM, Adi, Reza dan Kudsia Kahar
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah dalam majlis berbuka puasa anjuran stesen radio tersebut bertempat di Hotel Dua Sentral, Kuala Lumpur, semalam.
"Saya berasa sangat teruja untuk menyertai pasukan baru serta cabaran baru. Tambahan kerana saya tidak pernah tengok satu pasukan yang begitu ceria sepertimana di Suria FM. Penyertaan saya ni boleh dianggap seperti saya pulang ke rumah kerana kini saya kembali ke pangkuan radio di mana saya bermula," kata Kudsia Kahar yang sebelum ini berkhidmat sebagai naib presiden Bahagian Media Baru, Astro Radio.
Kudsia mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang penyiaran radio dan pernah berkhidmat sebagai deejay Radio Muzik dan Era FM sebelum dinaikkan pangkat sebagai petugas belakang tabir di Astro.
Beliau juga pernah popular sebagai pengkritik program realiti televisyen iaitu Akademi Fantasia selama beberapa musim.
"Saya rasa antara tarikan unik Suria, ialah konsep keceriaan yang diketengahkan yang tidak ada pada stesen radio lain. Dan itulah magiknya. Ditambah dengan pengisian lagu-lagu 90-an juga lagu baru yang memang menjadi pilihan ramai", ujar Kudsia lagi.
Tambah Yusri, beliau berpuas hati dengan pencapaian semua penyampai yang kini berjaya meletakkan Suria FM di ranking keempat dalam senarai semua stesen radio berbahasa Melayu tempatan. Disamping nama-nama besar selebriti radio dan hiburan tanah air sebagai tenaga baru penyampainya seperti Nabil, Kenchana Dewi, Halim Othman dan Linda Onn, sekaligus jumlah pendengar telah meningkat naik sebanyak 23 peratus.
Untuk rekod setakat ni, daripada sebanyak 2.9 juta pendengar, Suria FM kini mencatatkan pertambahan 600 ribu pendengar dalam masa 6 bulan.
- Foto oleh Cipotredz
- mD