.
Sejak menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Anne Ngasri pada awal tahun lalu, Aliff Aziz mengakui kehadiran wanita itu, nyata banyak mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik. Pada pemerhatian MD sendiri, penyanyi berusia 21 tahun ni juga sekarang nampak berbeza.
Namun begitu, terdengar desas desus mengatakan Anne kononnya mengongkong hidup Aliff hingga tidak membenarkan pelantun Jangan Ganggu Pacarku ini berkawan rapat dengan sesiapa. Bertanyakan apakah benar dakwaan tersebut, Aliff menjawab,
"Dia juga seorang yang sangat mengambil berat. Kalau ada orang kata dia kongkong saya, itu tak benar! Macam nilah, dia tahu macam mana gaya hidup saya dulu. Bila seseorang itu dah biasa dengan cara hidup sosial, bila nak ubah tapi kalau tak ada orang tunjukkan jalan silap-silap seseorang tu akan terus tersasar. Jadi peranan Anne adalah membantu saya memperbaiki diri.
"Lagipun siapa yang nak bersuamikan orang yang tak proper. Saya bukan nak cakap saya baik, masih banyak lagi yang saya perlu belajar.", kata Aliff Aziz ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Redbox di Pavillion, semalam.
Seperkara lain, anak kelahiran Singapura ni berkata dia kurang senang sekiranya ada khabar angin atau cerita negatif yang dikaitkan dengan Anne.
"Saya cukup pantang bila ada yang mengaitkan Anne dengan cerita yang bukan-bukan. Sebab selama sepanjang jadi anak seni Anne tak pernah lagi dikaitkan dengan gosip atau kontroversi. Hanya tentang kisah penceraiannya saja tapi itu adalah sejarah dulu. Walaupun berstatus ibu tunggal tapi dia seorang yang berdikari dan tak bergantung harap pada sesiapa. Dan saya tak pernah terlintas nak pandang dia sebagai ibu tunggal sebaliknya saya kagum dengan ketabahan dan kekuatan dia membesarkan anak-anaknya",
Praktis Urus, Layan Kerenah Anak-Anak
Gambar dipetik dari Kosmo!
Kelmarin, sebuah akhbar melaporkan anak-anak kepada pelakon comel Anne Ngasri sudah mula memanggil kekasih hati ibunya itu dengan panggilan 'Daddy'. Alang-alang jumpa MD mengambil peluang menyelami perasaan Aliff apabila bergelar 'bapa 'segera'.
"Saya memang rapat dengan anak-anak Anne. Kalau saya tak sibuk dengan penggambaran atau apa-apa persembahan, saya dan Anne banyak luang masa dengan mereka, bawa mereka jalan-jalan dan belikan permainan.
"Hubungan Anne dengan bekas suaminya baik, saya gembira sebab anak-anak Anne dapat dapat kasih sayang dari kedua-duanya. Tapi saya juga memainkan peranan sebagai bapa dalam kehidupan seharian mereka.
"Saya kerap ke rumah mama (ibu Anne), kadang-kadang saya tidur di sana. Dan kalau hujung minggu tu Anne dengan anak-anak akan balik rumah mama. Jadi bila mereka ada, masa tu lah saya praktis kaw! kaw! jaga anak-anak juga mandikan mereka.," kongsinya sambil mengukir senyuman.
Menyentuh mengenai perancangan masa depan bersama Anne, Aliff memberitahu memang mereka pernah berbincang namun segalanya diserahkan pada takdir.
"Setiap orang yang bercinta pasti ada niat nak kahwin kalau tak, tak ada maknalah dia jalinkan hubungan tu. Tapi bila tarikhnya atau dalam masa terdekat ker? Tu saya tak boleh jawab. Sekarang ni kami tengah kukuhkan keewangan. Kalau semuanya berjalan lancar, InsyaAllah. Doakan yang terbaik untuk kami", ujarnya dan
Dalam pada itu, sempena raya nanti, Aliff akan menjemput Anne beraya di Singapura dan kesempatan itu mahu digunakan untuk memperkenalkan buah hatinya itu kepada seluruh keluarganya.
"Raya ketiga, Anne akan raya dengan kami. Ummi dah pernah jumpa Anne sebelum ni dan Allhamdulillah mereka boleh ngam. Tapi kali ni saya nak perkenalkan pada saudara mara lain pula. Mereka sangat mengalu-alukan kedatangan Anne dan anak-anak", katanya yang turut memberitahu akan memakai baju berwarna sedondon dengan Anne termasuk anak-anak namun Aliff enggan mendedahkan pilihan warna mereka.
- mD