.
Tidak pernah terlintas difikirannya mahu bergelar pelakon. Namun saat diberi peluang dalam tampil filem Hantu Gangster, tawaran tersebut diterima sementelah wataknya tidaklah terlalu sukar untuk dihayati. Masih tidak mahu mengganga dirinya seorang pelakon, sebaliknya Noh Salleh sekadar mahu mencuba dan menimba pengalaman dalam dunia anak wayang.
Lantaran vokalis kumpulan Hujan ini melahirkan rasa bertuah dan teruja dengan kemunculan debut-nya di layar perak menerusi Hantu Gangster, sebuah filem taruhan kedua pengarah sensasi, Namawee.
"Walaupun sebelum ni saya pernah berlakon untuk Projek Pop. Tapi pertama kali saya muncul untuk filem. Rasa seronok dapat kerja dengan Namewee dan kru produksi. Saya boleh kata yang produksi filem ni antara yang terbaik kat Malaysia.
"Layanan yang diberikan pada saya dengan Nina juga kepada pelakon lain memang terbaik. Di set kalau panas, mereka datang pegangkan payung. Bila kita duduk menanti giliran untuk shoot tu, mereka datang bertanyakan kalau-kalau kita perlukan apa-apa.
"Layanan sebegitu buat saya terasa seperti rockstar. Rasa macam pelakon kat Hollywood sana walhal saya sebagai cameo saja. Mereka memang best lah!," kata Noh Hujan ni kepada MD sambil memandang ke arah isterinya, Mizz Nina.
Pasangan ini ditemui di malam gala tayangan filem komedi seram ni di Berjaya Time Square, kelmarin.
Menurut Noh lagi, dia tidak menghadapi cabaran besar memandangkan watak dan karakter yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah karater yang ringan. Malahan sepanjang di set, kata Noh dia banyak ketawa sampaikan terbawa-bawa ketika penggambaran.
.
"Cerita ni cerita komedi dan dia punya mesej yang kuat pada penonton. Saya tak rasa stress langsung. Saya asyik gelak. Ada satu babak yang saya perlu bergaya macho, hah yang tu memang mencabarlah sebab saya asyik nak tergelak saja."
Sementara itu, Mizz Nina atau Nina yang turut di sisi Noh sempat juga berkongsi pengalaman berlakon pertama kali dengan suaminya.
"Seronok dan saya banyak gelak sepanjang kat set sebab mereka semua lawak. Ada satu babak tu di mana saya perlu melakonkan aksi ala-ala gedik kerana minat pada salah seorang ketua gangster iaitu Noh, masa tengah buat adegan gedik tu, rambut palsu saya tercabut. Malah ada babak yang kami terpaksa rakam sehingga lebih kurang 30 take sebab asyik tergelak.Pengarah dan kru produksi pun memang sangat baik. Bertuah dapat menjadi sebahagian daripada filem ni", ujar Mizz Nina yang juga baru selesai menjalani klip video terbarunya, Summer Burning.
.
Ditanya seandai ada lagi ruang juga tawaran berlakon yang datang kepada mereka, Noh dan Nina berkata, mereka tiada masalah untuk menerimanya asalkan karakter yang hendak dibawa tidak terlalu berat.
"Kalau ada tawaran lagi memang saya nak berlakon tapi kalau tak ada dialog lagi best! Kalau nak suruh saya lakonkan watak yang berat memang saya tak mahu dan tak boleh. Misalnya sebelum ni saya terima tawaran jadi seorang pemuzik yang karakternya sangat deep, tu saya tak boleh", ujar Noh lagi.
Filem Hantu Gangster mengisahkan tentang tiga kumpulan gengster dari latar belakang budaya yang berbeza, berganding bahu dalam mempertahankan keluarga mereka, melalui bantuan seorang pencuri.
Selain Noh dan Nina, filem yang sedang rancak ditayangkan di pawagam ni turut dibintangi oleh Diana Danielle, Farid Kamil, Dato David Arumugam, Datuk Jalaluddin Hassan, Reshmonu, Amber Chia, Taijuddin Bakar, Dennis Lau dan ramai lagi.
- mD