Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Yuna Sekali Lagi Lakar Sejarah di Amerika

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Wednesday, 15 August 2012 13:05

..

Bukan mudah buat seseorang penyanyi-penulis lirik, lebih-lebih kalau individu itu beragama Islam yang berasal daripada Malaysia untuk mencipta nama di persada muzik global.

Tetapi Yunalis Zarai atau Yuna, 25, sudah membuktikan, Malaysia Boleh!

Bahkan turut membuktikan yang dia bukan bintang Pop tipikal. Impresif, gadis dari Asia ni sekarang gigih membina empayar seninya di barat.

Demi cinta yang mendalam pada muzik, Yuna yang kini berpindah Los Angeles dikhabarkan agak sibuk dengan projek muzik juga konsert jejalahnya di sana. Sekaligus anak kelahiran Alor Setar, Kedah ni sekarang sedang rancak membina empayar juga mengumpulkan peminat-peminat antarabangsa.

Ditambah dengan debutnya berjudul Yuna yang baru saja dipasarkan pada 24 April lalu kini sedang mendaki tangga terbaik carta di Amerika Syarikat. Malah laman sosial Facebook pagenya sedia sukses meraih jutaan peminat. 

Pada Sabtu lalu, sekali lagi pemuzik berbakat besar ini 'memberi' berita gembira lagi membanggakan buat rakyat Malaysia apabila telah membuat kemunculan eksklusif dalam sebuah program popular, CBS This Morning. Yuna mempersembahkan single terbarunya yang berjudul, Lullabies.

Sebelum ni pun Yuna pernah diundang oleh sebuah rancangan TV bual bicara paling berpengaruh, Conan, dan turut membuat persembahan menyanyikan single  Live Your Life yang mana lagu tersebut juga termuat dalam debutnya.

Bercakap kepada CBSNews, Yuna memberitahu, meskipun hari ini ramai sudah mengenalinya namun duta produk Canon, Samsung dan Oil of Olay ni tidak mahu cepat mendabik dada dan terus berasa selesa dengan apa yang dikecapai setakat ini.

"Saya tak mahu rasa selesa sangat dengan apa yang saya capai sekarang. Saya nak cipta lagi sesuatu yang lain", kata Yuna.

Pun begitu, Yuna mengakui yang dia tak pernah menyangka sama sekali yang dia mampu membawa muziknya sejauh ini.

"Saya tak pernah tanya pun pada orang lain tentang apa yang perlu saya buat. Sebaliknya semua saya lakukan sendiri. Sebolehnya saya mahu berdiri di atas kaki sendiri ", tambah graduan lulusan Undang-undang ni lagi.

Nasib Yuna baik apabila di ditawar bernaung di bawah sebuah syarikat muzik Amerika yang berpusat di Los Angeles. Lantas peluang keemasan itu tidak di sia-sia dan itu juga sebab utama yang membawanya menetap di bumi Amerika.

Yuna juga mengakui, ada ketikanya dia bimbang dengan perbezaan budaya.

Ketika ditebak dengan soalan bagaimana dia mengimbangi antara seorang individu yang kuat dengan pegangan agama Islam dalam masa sama bergelar seorang artis?

"Saya ada kepercayaan dan ada agama sama juga seperti orang lain. Dan dalam masa yang sama saya adalah manusia biasa. Saya tulis lagu, saya cipta muzik saya dan saya nyanyikan", ujar Yuna yang turut memberitahu dia mula belajar menyanyi dalam bahasa Inggeris dengan hanya mendengar album The Beatles milik ibu bapanya.

"Saya juga berhasrat nak menang anugerah Grammy, tambahnya sambil tergelak. 


 

- mD

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.