|
|
|
Wednesday, 29 August 2012 07:30 |
.
Aktres jelita Fasha Sandha tidak akan menghalang hobi suaminya Rizal Ashram Ramli atau Jejai untuk menyertai sebarang aktiviti perlumbaan kereta walaupun ia boleh membahayakan nyawanya.
Memetik kenyataan di mStar, Fasha yang juga sekarang bertindak sebagai pengurus peribadi suaminya berkata, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa menjadi tulang belakang suami selain percaya doanya dan keluarga mampu melindungi Jejai daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Malah bakal ibu yang kini sedang hamil kira-kira tiga bulan itu juga sanggup berpanas di atas trek litar semata mahu menemani suaminya itu di kejohanan-kejohanan lumba kereta yang akan datang.
Jejai menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Pemandu daripada pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan yang diadakan di Ordos, China itu.
Kejohanan berkenaan pertama kali diadakan di Asia iaitu di Asia Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu. Fasha akan menemani Jejai ke Guandong China pada 15 September depan untuk kejohanan seterusnya.
Dalam perkembangan lain, Fasha bersama barisan pelakon Kamal Adli, Scha AlYahya dan Fida Ibrahim bakal muncul menerusi drama Runtun Qalbu bermula 21 September depan di slot Zehra, TV3.
- mD
|