Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Jojo Goh Akui Ambil Tahu Banyak Hal Tentang Remy

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Thursday, 30 August 2012 12:57

..

Orang kata, tak kenal maka tak cina. Dan, kata pujangga ini cuba 'digunakpakai' pelakon berbangsa Cina, Jojo Goh Lee Chean atau Jojo Goh. Demi mewujudkan keserasian menerusi lakonanya bersama aktor Remy Ishak (yang memengang watak Budi) di dalam filem berjudul 29 Februari, memandang sebelum ini dia tidak mengenali siapa sebenarnya Remy, jadi sebelum memulakan pengambaran, Jojo mengambil kesempatan untuk mengenali lebih mendalam siapakah 'hero Malaya nya' itu.

Bintang baru kelahiran Alor Setar, Kedah ni mengakui yang dia membuat kajian terlebih dulu dan mengambil tahu banyak hal yang berkaitan dengan Remy.

"Memang awalnya saya tak kenal siapa Remy. Tak pernah tengok drama atau filem lakonan dia. Masa datang ujibakat pun, sewaktu masuk di dalam bilik ujibakat tu saya tercari-cari juga mana satu Remy Ishak. Rasa macam kenal tapi macam tak kenal.

"Setelah diperkenalkan, dia rupa-rupanya seorang yang peramah dan kemudian kami berkawan. Banyak juga hal kami kongsi antara satu sama lain termasuk lah hal cinta. Saya juga mencari maklumat tentangnya di internet sebagai persediaan. Dan hasilnya kami mudah mendapat keserasian ketika di set. Remy seorang pelakon yang cukup profesional", ujarnya gadis berusia 28 tahun ini.

Tertekan Bertutur Dalam Bahasa Melayu
Dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu, Jojo diberi kepercayaan mempotrey watak Lily. Sementelah 29 Februari membuka ruang buat bekas VJ berusia 28 tahun ini menyelitkan diri dalam industri perfileman Melayu. Kata Jojo, bekerja dengan produksi Melayu adalah antara impiannya.

"Sejujurnya ini memang impian saya mahu bekerja dengan produksi Melayu. Saya rasa macam mimpi jadi kenyataan. Negara kita kan berbilang kaum. Jadi kalau saya dapat berlakon dalam produksi Melayu, merupakan satu yang membanggakan sebagai rakyat Malaysia.

"Lagipun tak banyak watak-watak perempuan Cina dalam filem melayu, jadi bila dapat tahu ada ujibakat dan pihak produksi mencari perempuan cina, saya pun terus cuba satu kali, dua kali dan kali ketiga saya dapat panggilan dan mereka beritahu yang saya berjaya untuk bawa watak Lily. Saya sangat teruja", katanya ketika ditemui pada mala gala tayangan filem 29 Februari baru-baru ini.

Namun begitu, Jojo berkata dia terpaksa berdepan dengan cabaran bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.

"Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya tapi sebelum ini memang saya biasa cakap Melayu. Dengan kawan-kawan Cina saya pun saya bertutur dalam bahasa Melayu. Dan saya nak sangat bercakap dalam bahasa melayu dengan anda semua. Tapi bila saya jumpa dengan anda semua, saya jadi agak gementar. Sebab, saya harus pastikan yang saya benar-benar fasih untuk bercakap bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa anda, bahasa yang anda cakap hari-hari. Pasti kalau ada sedikit salah atau pelat, anda semua akan cepat tahu kesalahan saya, kan?

"Begitu jugalah sepanjang melakonkan watak Lily. Saya perlu bertutur dalam bahasa Malaysia sebanyak 90%. Pada mulanya tertekan juga sebab cabarannya bilamana Edry mahukan saya bercakap dengan fasih dan intonasi dan sebutan yang betul dalam masa yang singkat. Saya perlu betul-betul nampak selesa bercakap dalam bahasa Melayu.

"Sebelum menghayati watak tu, saya banyak tonton filem Melayu. Saya juga banyak mendapat tunjuk ajar dari pelakon-pelakon lain. Saya harap penonton dapat terima lakonan saya," katanya sambil mengukir senyuman.

29 Februari, filem stereoscopic 3D pertama Malaysia yang mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Budi yang lahir pada 29 Februari 1986 dimana kehidupannya melalui peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia.

Dalam pada itu, Budi telah jatuh cinta dengan seorang gadis berketurunan Cina bernama Lily, namun cinta mereka dihalang keluarga gadis itu kerana berbeza latar belakang agama dan budaya. Filem terbitan KRU Studios ni ditayangkan bermula hari ini! 

 

- mD

 

 

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.