Sun10262014

LAST_UPDATESun, 26 Oct 2014 2pm

Pemuda Pasang Bendera BN Ditetak

TANAH MERAH: Seorang pemuda cedera di kepala ketika memasang bendera dan sepanduk Barisan Nasional (BN), dipercayai ditetak seorang penyokong parti pembangkang di Kampung Batu 5 1/2, Jalan Bendang Nyior di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6.45 petang ketika Mohd Dasuki Yusoff, 31, sedang meninjau lokasi sesuai di sebuah jambatan berdekatan kampung berkenaan bagi memasang bendera dan sepanduk.

Dasuki berkata, ketika berada di lokasi itu, sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki berhenti di atas jambatan dan memintanya supaya tidak memasang bendera dan sepanduk berkenaan di situ.

Katanya, mereka memberi alasan kawasan itu adalah kubu kuat parti pembangkang dan tidak membenarkan bendera serta sepanduk BN dipasang di situ.

“Saya mempersoalkan tindakan lelaki terbabit yang melarang tindakan saya itu kerana sebelum ini tidak ada pihak yang menghalang bendera parti pembangkang dipasang di kawasan dikuasai BN.

“Mungkin kerana tercabar dengan soalan saya itu, seorang daripada mereka yang juga penghulu kampung terbabit meluru keluar dari kereta, lalu menghampiri saya serta menumbuk muka saya,” katanya di sini, semalam.
Dasuki berkata, ketika berada di rumah selepas kejadian itu, dia didatangi pula seorang pemuda berusia 26 tahun yang menaiki motosikal memasuki pekarangan rumah sambil memarahinya berikutan kejadian di atas jambatan itu.

Beliau berkata, ketika bertikam lidah dengan pemuda terbabit, tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan sebilah parang daripada motosikal dan menetak belakang kepalanya.

Katanya, sebaik melihat dia cedera, pemuda terbabit melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di pekarangan rumah dan bapa saudara yang melihat kejadian itu terus membawanya ke Hospital Daerah Tanah Merah (HTM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Akibat tetakan itu, saya menerima enam jahitan di kepala dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah malam kelmarin,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, mengesahkan menerima laporan itu dan kes berkenaan sedang dalam siasatan.

- Berita Harian

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PemudapasangbenderaBNditetak/Article