Sun12212014

LAST_UPDATESun, 21 Dec 2014 1am

Malaysia Kutuk Ujian Nuklear Korea Utara

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya ujian nuklear Korea Utara semalam yabng merupakan pencabulan langsung terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menggesa Korea Utara supaya mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan iaitu Resolusi 1718 (2006), 1874 (2009) dan 2087 (2013).

"Malaysia amat kesal dengan tindakan DPRK (Korea Utara) mengadakan ujian nuklear di sebalik kebimbangan yang disuarakan komuniti antarabangsa.

"Kami menggesa semua pihak berkaitan supaya melaksanakan sekatan penuh dan mengelak tindakan yang boleh memburukkan keadaan di wilayah Timur Laut Asia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia sesungguhnya percaya semua usaha harus ditumpukan ke arah menegaskan semula komitmen untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau, dan mewujudkan persekitaran aman di Semenanjung Korea khususnya dan di dunia amnya.

- Bernama