Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 2am

Lidah Melecur, Dah Setahun Enot Hilang Deria Rasa

Kredit foto Faisol Mustafa.Kredit foto Faisol Mustafa.
 
Gara-gara gurauan seorang teman, dia tanggung derita. Pelakon komedi, Enot, mendedahkan yang dia sebenarnya tidak lagi boleh menikmati rasa makanan atau minuman dengan baik kerana telah kehilangan deria rasa sejak lebih kurang setahun lalu.
 
Menurut Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 34, kejadian tersebut berpunca daripada insiden lidahnya melecur kerana meminum air panas secara tidak sengaja. 
 
"Saya sebenarnya ada masalah tak boleh nak rasa makanan atau minuman dengan baik. Sebab lidah saya melecur. Dah lebih kurang setahun dah. Tapi sekarang cuma boleh rasa sikit-sikit lah. Puncanya, seorang teman tiba-tiba menepuk belakang saya dan saya terperanjat terus terminum air panas, ketika itu. Akibatnya lidah saya melecur.
 
"Dua minggu saya tak boleh bercakap dan saya mengalami sakit tekak. Doktor beritahu lidah saya melecur di tahap satu. Saya ada menjalani rawatan dengan mengikis sel mati lidah saya. Jadi sekarang masih lagi dalam proses untuk pulih seperti sediakala. Menurut doktor, ia mungkin ambil masa yang lama, sekurang-kurangnya setahun atau lebih", kata Enot kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui di majlis pelancaran MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, bertempat di kafe The Bee, Publika, semalam.
 
Walaupun menghadapi masalah merasa makanan, namun Enot masih menjalani kehidupan seperti orang normal. dan masih rancak dengan perniagaan biskut dan kek hasil air tangannya sendiri iaitu Enot Cookies
 
Selain itu Enot tetap bersemangat menyahut cabaran dalam program realiti MasterChef Selebriti. Malah ibu anak tiga ini merupakan antara peserta yang disebut-sebut sebagai pesaing hebat di antara 18 lagi selebriti lain. 
 
"Saya seronok menyertai MasterChef. Nak kata pandai sangat-sangat memasak tu, tidak lah... tapi saya ada kelebihan dalam pembuatan pastri dan masakan makanan kampung. Persiapan saya, saya belajar jugalah cara nak buat sup dan makanan lain.
 
"Disebabkan masalah tak boleh nak merasa masakan saya, saya minta bantuan daripada Syanie untuk tolong saya rasakan garam, gula dan sebagainya setiap kali memasak dalam program tu. 
 
"Tapi saya masih lagi boleh rasa sama ada masakan saya tu cukup ker tidak garam atau gulanya. Cuma saya kurang yakin. Kalau buat biskut atau kek untuk berniaga tu, kita dah biasa dan boleh agak sukatan bahan-bahan", jelasnya. 
 
Enot juga memberitahu sejak menjalani penggambaran program terbitan Astro itu, dia telah mengalami penurunan berat badan sebanyak 10 kg.
 
"Sejak sertai MasterChef, saya dah turun 10 kg sebab saya tak makan nasi. Mungkin juga sebab asyik mengadap masakan, jadi haba tu dah naik dulu. Bayangkan saja, kalau kami ada tugasan memasak di luar studio, percaya atau tidak, dek kerana asyik jalani penggambaran, dari pagi hingga petang saya dan peserta lain langsung tidak menjamah makanan kerana kepenatan", katanya.
 
Enggan Ulas Lanjut Isu Cerai
 
Kredit foto Faisol Mustafa.Kredit foto Faisol Mustafa.
 
Dalam masa sama Enot diminta mengulas mengenai laporan media mengatakan dia telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Zainul Abidin Mat Noor, 42, di Pejabat Agama Kajang pada awal Mac lalu. Bagaimanapun Enot enggan mengulas lanjut tentang hal itu.
 
"Status saya sekarang? Tunggu... Saya hanya minta ruang di hati saya dan privasi sikit saja untuk saya selesaikan semuanya dan kemudian saya akan jelaskan segala-galanya nanti. Buat masa ini saya rasa kesakitan yang amat sangat jadi akan bercakap sekiranya semua dah normal. Sekarang ni saya tak boleh cakap, sebab hati saya terlalu sakit", katanya.
 
Bagaimanapun Enot mengakui dia berasa kecewa mengenangkan ia kegagalan perkahwinannya kali yang kedua. Namun dia redha dan menguatkan semangat meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya. Mujurlah sahabat baiknya pelakon Didie Alias, banyak membantunya di kala dia memerlukan teman untuk mengadu dan meluahkan perasaan.
 
"Dia (suami) yang tinggalkan saya. Saya terima. Saya ada bisnes sendiri dan saya akan buat comeback. Saya nak  kembali aktif berlakon semula.
 
"Alhamdulillah kehidupan saya kini dengan anak-anak. Dan Didie banyak membantu saya. Dia adalah manusia yang sentiasa ada dan sedia menemani saya, mendengar luahan saya tak kira pagi petang siang dan malam", katanya. 
 
Ini adalah perkahwinan kedua Enot selepas bercerai pada 2006 dan dikurniakan dua anak iaitu Andriana Balqis, 12, dan Ariana Qaseh Qistina, 6, daripada perkahwinan terdahulunya.
 
 
- mD