Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 7pm

Suami Mula Bikin Dynas 'Panas Telinga'


Kredit foto Faisol Mustafa.Kredit foto Faisol Mustafa.
 
Sejak berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, model-pelakon-pengacara jelita, Dynas Mokhtar, 30, memberitahu tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif dalam dunia lakonan. Cuma waktunya untuk berada di set lokasi dan menjalani penggambaran agak terbatas memandangkan dia perlu memberi keutamaan kepada keluarganya. 
 
Menurut empunya nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar ini, tidak pernah terlintas difikirannya untuk berhenti berlakon. Namun sejak akhir-akhir ini pelakon siri Bangkitnya Seorang Wanita ini mendedahkan suaminya, Mohd Hafizy Hafiz, ada meminta agar dia mengurangkan aktiviti seni terutama berlakon. Sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian kepada kedua-dua anak mereka yang sedang membesar. 
 
"Rutin harian saya memang sibuk. Menguruskan anak-anak dalam masa sama saya uruskan perniagaan butik pakaian saya. Saya masih berlakon juga dan buat pengacaraan untuk program RTM. Tapi itulah... suami saya sebenarnya dia membebel jugaklah bila saya ambil tawaran berlakon. Panas jugalah telinga ni tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Nak buat macam mana, kan...", katanya kepada Malaysian Digest.com sambil tertawa kecil.
 
Kemudian menyambung, "Sebab bila kita berlakon, masa kita dah banyak diluangkan di set. Suami saya sebolehnya dia tak nak orang lain jaga anak-anak. Dia nak saya yang jaga mereka. Lagipun, iyalah saya masih lagi menyusukan Qaish. 
 
"Suami saya kata, tak adil untuk Qaish bila saya sibuk sangat dengan shooting. Tapi bila difikirkan semula, memang ada betulnya cakap suami saya tu. Sebab masa Khayra dulu memang saya bagi sepenuh perhatian 100% padanya. Masa tu lama juga saya tak ambil job berlakon", katanya.
 
Dynas ditemui pada majlis pelancaran koleksi Pandora sempena Hari Ibu, bertempat di Bangsar Village 2, semalam.
 
Jelasnya lagi, dalam pada tumpuannya diberikan kepada Khyra Khalisa, (4 tahun) dan Mohamad Haqaish (10 bulan), Dynas yang bergelar usahawan sejak dua tahun lalu turut membahagikan masa di butiknya iaitu sebuah butik khas buat ibu-ibu moden, Dynas Nursing Attire atau DNA. Sementara dunia lakonan kini dijadikan sebagai pelepas tekanan.
 
Dynas bersama anak-anaknya Khyra Khalisa dan Mohamad Haqaish. Kredit foto Faisol Mustafa.Dynas bersama anak-anaknya Khyra Khalisa dan Mohamad Haqaish. Kredit foto Faisol Mustafa.
 
"Bila saya boring, saya berlakon. Bila saya stress dengan bisnes saya, saya berlakon. Sebab dalam tempoh tu saya tak perlu fikir banyak perkara, hanya fokus pada skrip. Berlakon ni kira sebagai time-out Dynas Mokhtar daripada famili dan bisnes lah", ujarnya yang akan menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Dairi Azura tidak lama lagi. 
 
Dalam perkembangan lain, Dynas baru saja membuka butik kedua di Setia City Mall, Shah Alam. Selain itu, Sejak memperkenalkan pakaian khusus untuk wanita mengandung dan menyusukan badan, dia juga sering diundang oleh doktor bagi mengadakan ceramah dan membuat demo di beberapa hospital. 
 
 
- mD