Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 7pm

Fizz Fairuz Sarungkan Cincin di Jari Tunang, Hukumnya Haram - Pakar

..

Dengan tersebarnya beberapa keping gambar di internet sejak dua tiga hari lalu, maka kisah pertunangan pelakon Fizz Fairuz dengan gadis bernama Azlyn Massiela bukan lagi rahsia.

Namun nama pelakon Nur Kasih itu menjadi bualan hangat berikutan dia enggan menjawab panggilan telefon dan juga tidak membalas mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pihak media. Sehingga kini tiada penjelasan lanjut daripada bekas kekasih pelakon Almy Nadia itu mengenai majlis pertunangan secara mengejut dan tertutupnya itu.

Selain, berdasarkan gambar yang tersebar, timbul isu rentetan tindakan Fizz (dalam salah satu gambar tersebut) telihat dia sedang menyarungkan cincin di jari manis tunangnya. Mungkin itu cara orang moden bertunang, ya?

Moden tak moden...! Sudahlah Fizz nampak gayanya macam tidak tahu menghormati majlis. Memanglah ini majlis dia, suka hati dia nak pakai apa, bak kata teman kami, asalkan dia bahagia. Tetapi melihat pada pemakaian Fizz, ternyata aktor itu seperti ambil mudah. Hanya berjeans, sweater dan bertopi, Fizz sempoi tapi sayangnya, sangat tak kena dengan situasi.

..

Soal pemakaian satu hal. Tetapi satu lagi hal yang memang perlu dititiberatkan ialah berkenaan dia menyarungkan cincin di jari tunangnya. Gelojoh sangat gayanya tu Fizz oi...

Memetik kenyataan di mStar online,  tindakan Fizz Fairuz yang menyarung cincin ke jari manis tunangnya merupakan satu kesalahan daripada segi adat Melayu dan haram hukumnya dalam agama Islam.

Pendakwah selebriti, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, mengikut hukum Islam, lelaki dan perempuan tidak dibenarkan bersentuhan selagi belum melaksanakan akad nikah walaupun sudah bertunang.

"Kita perlu faham bahawa selagi belum berlakunya akad nikah, tunang kita masih lagi bukan mahram, maknanya tidak boleh disentuh.

"Hadis Nabi ada menyebut sesiapa yang berkahwin, ia telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya.

"Memang niat dah betul, tetapi jalan untuk menuju ke matlamat (berkahwin) itu mestilah selari. Perlu diingat, matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.

Tambah pengacara program Semanis Kurma di TV9 ini, sepatutnya ibu Fizz atau wanita lain yang mewakili pelakon itu perlu menyarung cincin tersebut ke jari wanita berkenaan.

Suami kepada kepada penceramah Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood itu turut menasihati Fizz supaya perlu menguar-uarkan majlis pertunangannya kepada umum agar tunangnya itu tidak dirisik orang lain

"Bukan sahaja perkahwinan perlu diuar-uarkan, tetapi juga majlis pertunangan. Ini kerana apabila seseorang itu sudah bertunang, haram untuk orang lain meminang wanita yang sudah dipinang. Sebab itu ia perlu diumumkan kepada semua," ujarnya.

Fizz diberitakan bertunang secara senyap-senyap pada 10 Februari lalu. Majlis tersebut berlangsung di rumah tunangnya, di Beserah, Kuantan, Pahang. Majlis tersebut sekaligus memadamkan segala persoalan tentang hubungan cintanya bersama Almy Nadia sebelum ini.

..
 

- mD