Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Ciuman Manja Nadiyaa Nisa Buat Aaron Aziz

..
Setelah bersiaran selama hampir 80 episod di saluran Mustika HD, malam tadi drama bersiri yang mencetuskan fenomena, Adam & Hawa telah pun melabuhkan tirainya. Satu yang pasti, episod malam tadi telah membuatkan para peminat drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu, 'kurang oksigen' - itu yang boleh digambarkan kepada mereka yang tidak menonton drama ini malam tadi.

Ini kerana babak di atas katil menutup tirai 'Adam & Hawa" dengan menyaksikan satu ciuman manja dari Nadiya Nisa sebagai 'isteri' bernama Ain Hawani singgah di dahi Aaron Aziz yang berlakon sebagai 'suaminya' yang bernama Adam Mukhriz 

Sewaktu di sesi tayangan dan sidang media Adam & Hawa episod akhir beberapa jam sebelum ianya bersiaran di televisyen, Nadiya Nisa mengakui dia memang benar-benar mencium dahi Aaron.

Tatkala diminta mengulas mengenai babak tersebut yang kemungkinan akan menimbulkan reaksi negatif atau kemarahan penonton, ibu beranak satu ini menjawab,

"Ya, memang saya cium dahi Aaron betul-betul. Saya tak perlu takut... kalau saya tak berani nak buat lebih baik saya tak perlu jadi pelakon, " ujarnya dengan tenang ketika ditemui di GSC, The Gardens Mall, petang semalam.

Tambah Nadiya atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa‘ Kamaruddin, sepanjang di set sebenarnya jarang ada adegan bersentuhan di antara dia dengan Aaron kerana mereka menuruti kehendak cerita dan memang sengaja membiarkan penonton sendiri yang bermain imiginasi- imiginasi sendiri. Sehinggalah episod terakhir baru mereka 'memberi'.

"Kalau nak ikutkan setiap episod babak romantis dan bersentuhan antara kami tu kurang. Kami sengaja tak kerap buat adegan berpelukan, berpengangan atau luahan cinta, sayang dan sebagainya sebab nak biar penonton dengan imiginasi mereka sendiri.

Sampailah episod akhir, baru saya mendekatkan diri saya dengan Adam dengan memberikan 'suami' saya ciuman di dahi tu", katanya.

Nadiya juga tidak menafikan yang dia berasa sedih kerana kini tiada lagi Ain Hawani. Namun dia gembira dan berpuas hati sepanjang mengidupkan watak tersebut. Semetelah bertitik tolak daripada lakonannya itu, dia kini semakin dikenali ramai dan banyak pihak telah membuka mata melihat bakatnya.

"Menjadi Ain Hawani adalah satu pengalaman yang tak mungkin saya dapat lupakan. Ia satu pengalaman manis. Malah ia buat saya teruja dan semakin bersemangat untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

"Mula-mula tu memang susah saya nak buang Ain Hawani dalam diri saya. Sampaikan saya sendiri keliru dan kadang-kadang tak kenal dengan diri saya. Alhamdulillah semuanya kini okay. Peminat pun ramai yang panggil saya Ain Hawani, saya tak kisah.

"Saat yang paling saya tak sangka apabila satu hari tu, saya dapat panggilan daripada idola saya iaitu ibu Fauziah Nawi. Dia berkata kepada saya yang dia tidak mengenali saya sehinggalah dia menonton Adam & Hawa. Dia memuji lakonan saya dan memberikan saya semangat serta sokongan", katanya penuh teruja.

Nadiya juga bersyukur kerana menerusi drama ini juga dia tercalon dalam Top 5 bagi kategori Gandingan Di Layar Serasi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2012).

"Alhamdulillah tercalon... hairan juga sebab dalam drama ni kami lebih banyak bergaduh daripada bercinta. Jadi bila dapat tercalon dalam kategori pasangan serasi, agak pelik lah. Tapi mungkin juga 'feel' yang kami berikan sepanjang dalam drama tu dapat dirasai oleh penonton, dan mungkin itu yang membuatkan kami nampak serasi," katanya sambil tersenyum.

Selain Nadiya dan Aaron, Adam & Hawa turut dibintangi Elfaeza Ul Haq, Dazrin Kamarudin dan Anzalna Nasir, drama yang mula ditayangkan pada 27 Ogos tahun lalu, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam.

Dalam perkembangan lain, Nadiya bakal muncul menerusi drama bersiri Cinta Jangan Pergi yang turut menampilkan lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Ishak, serta telemovie XOXO yang akan tidak lama lagi.


- mD