Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 9am

2 Tahun Saleem (Iklim) Merana Kerana Disantau

..
Sebut saja nama Saleem, tentunya ramai masih kagum dengan penyanyi lagenda bersuara serak-serak basah ini. Manakan tidak, diusia 52 tahun bekas vokalis kumpulan sensasi 90-an, Iklim ni masih boleh dirasai setiap kali beliau muncul membuat persembahan pentas. Meskipun kini beliau bergerak secara solo, Saleem masih menerima banyak undangan nyanyian.

Namun begitu, mungkin tiada siapa tahu satu waktu dulu penghibur kelahiran Setiu, Terengganu, ini pernah berasa putus asa dan hampir membuat keputusan tidak mahu menyanyi lagi.

"Saya pernah rasa putus asa. Rasa tak mahu lagi menyanyi. Lebih-lebih lagi masa tu saya sakit. Dua tahun saya merana kerana disantau.

"Ada satu masa tu, saya dapat undangan menyanyi. Bila saya nak naik ke pentas, tiba-tiba saya lupa lirik, saya tak boleh menyanyi. Saya tiba-tiba jadi takut nak berdepan dengan audience, rasa gemuruh semacam.

"Saya pergi berubat di Thailand. Sekarang ni Alhamdulillah, keadaan saya dah pulih", kata kata Saleem kepada malaysiandigest.com ketika ditemui pada sidang media Konsert Gegar 5 Lagenda, di Istana Budaya, semalam.

Tambahnya lagi, atas dorongan kawan-kawan dan peminat-peminat, membuatkan dia kembali bersemangat untuk kembali ke persada seni.

Bagaimanapun Saleem memberitahu dia dan anggota Iklim yang lain tidak mungkin bergabung semula. Selain kerana masing-masing sudah anda kehidupan sendiri, berbezaan pemikiran menjadi penghalang untuk mereka bersatu.

"Ramai yang cadangkan Iklim buat comeback. Tapi saya rasa itu tak mungkin terjadi. Sebetulnya sejak dari dulu lagi antara kami masing-masing punya pemikiran yang berbeza. Tambahan mereka sudah ada kehidupan dan kerjaya yang lain", katanya.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana penerimaan umum terhadap dirinya rentetan detik gelap dalam hidupnya beberapa tahun lalu. Saleem berkata, kalau ada pun yang masih melemparkan tanggapan negatif,

"Mulut orang kita tak boleh nak tutup. Saya tak ambil pusing terhadap tanggapan negatif orang terhadap saya. Janji, kita tahu diri kita, apa yang terbaik untuk kita. Peminat pun ramai yang kata, mereka tak kisah tentang kisah silam saya, janji mereka nak dengar lagu-lagu saya".

Saleem sebelum ini yang pernah beberapa kali menjadi penghuni penjara dan pusat gara-gara terjebak dalam kancah najis dadah.

Dalam perkembangan lain, Saleem bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Eddie Hamid berjudul Bila Orang Dah Benci dalam masa terdekat. Dia juga merancang untuk mengadakan konsert jelajah di Indonesia. Selain itu, Saleem bakal mengadakan konsert di Istana Budaya bersama empat lagenda Rock Ballad iaitu Aris Ariwatan, Rahmat (Mega), Zamani (Slam) dan Ali (Terra Rossa). Konsert yang diberi nama Konsert Gegar 5 Lagenda itu bakal bermula pada 22 hingga 24 Februari ini di Istana Budaya.


- mD