Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 2am

Sekali Lafaz Mawar Milik Fizo Omar, Terima Hantaran Motosikal

Kredit foto Faisol Mustafa.Kredit foto Faisol Mustafa.
 
Selepas sehari bertunang, pelakon kacak Fizo Omar akhirnya sah bergelar suami kepada Mawar Abdul Karim (Mawar), dengan sekali lafaz, sekitar jam 9.32 pagi tadi.
 
Majlis ijabkabul telah diadakan kediaman keluarga pengantin perempuan yang terletak di Country Heights, Kajang dan disiarkan secara live menerusi program Nasi Lemak Kopi O, di TV9.
 
Pemilik nama sebenar, Wan Hafizol Wan Omar, 28, telah dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Ulu Langat, Ustaz Mohd Arif Abdul Samad berwalikan Hakim Pejabat Agama Islam Ulu Langat.
 
Kredit foto Danish Haikal.Kredit foto Danish Haikal.
 
Mawar, 24, menerima mas kahwin sebanyak RM506.
 
Sejurus selepas akad nikah, diadakan upacara pembatalan air sembahyang. Fizo menyerahkan mas kahwin serta menyarungkan cincin kepada isterinya. Kemudian si isteri pula menyarungkan cincin kepada suaminya.  
 
Aktor yang kini rancak dengan perniagaan serunding dan burger ini memberi 9 dulang hantaran kepada pengantin perempuan berupa tas tangan lelaki, kaca mata hitam, kasut, 2 naskah Al-Quran, Plat motor MF120, helmet, sebuah motosikal Ducati Multi Spread (1200 cc) dan laptop.
 
Sebagai balasan, Mawar menerima 7 dulang hantaran daripada pengantin lelaki mas kahwin, jam tangan, tas tangan, cincin berlian putih, sebuah vespa, jongkong emas bertulis 'Fizo Love Mawar' seberat 1.011kg iaitu simbolik kepada tarikh perkahwinan mereka hari ini. 
 
Pasangan mempelai mengenakan busana sedondon berona putih rekaan Datuk Razuwan Radzwil. Fizo segak berbaju Melayu dan Mawar anggun mengenakan baju kurung moden-tradisional.
 
Kredit foto Danish Haikal.Kredit foto Danish Haikal.
 
Majlis yang diadakan dengan penuh istiadat Melayu dan meriah ini dihadiri seramai kira-kira 1000 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai, teman-teman rapat dan para wakil media.
 
Menariknya kunjungan rombongan pihak lelaki diiringi 30 buah motosikal Ducati dari Ducati Club Malaysia.
 
Selain itu seramai 7 artis popular iaitu, Iqram Dinzly, Johan As'ari, Fahrin, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Karl Shafek, Nazim Othman dan diketuai oleh Datuk Rosyam Nor ini ditugaskan membawa dulang hantaran dari pihak lelaki.
 
Fizo dan Mawar telah mengikat tali pertunangan pada 9 November 2013 dan majlis telah diadakan di kediaman sama.
 
Terdahulu, keluarga Fizo telah menghantar rombongan merisik pada 28 Ogos lalu selepas hampir setahun pasangan ini berkenalan.
 
Pada 28 Oktober lalu, Fizo telah melakukan gimik dengan melamar Mawar di panggung wayang Cathay @e-Curve, Damansara.
 
Kredit foto Faisol Mustafa.Kredit foto Faisol Mustafa.
 
Majlis resepsi pasangan kedua mempelai ini akan diadakan  pada Disember depan di Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur selepas mereka pulang dari berbulan madu di Eropah.
 
 
 
- mD