Wed08232017

LAST_UPDATETue, 22 Aug 2017 11pm

Rossa Harap Gelaran Datuk Eratkan Lagi Hubungan Indonesia-Malaysia

Kredit foto Faisol Mustafa.Kredit foto Faisol Mustafa.Saat diva Indonesia ini dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bersempena keputeraan ke-83 Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk, berduyun ucapan tahniah diterimanya. Namun tak kurang ada juga yang mempersoalkan gelaran yang yang diterima itu. Layakkah Rossa digelar Datuk?

"Kalau soal layak atau tidak layak..., saya diberikan gelaran itu. Bukan saya yang minta. Jadi kita harus percaya pada Tuanku kerana pastinya bukan mudah untuk Tuanku berikan sesuatu apatahlagi saya ini bukan warganegara Malaysia. Jadi saya harus bersyukur dengan apa yang dikurniakan.

"Kalau ada yang kata saya tidak layak, mudah-mudahan satu hari nanti saya akan layak di mata mereka. Dan mungkin kata-kata mereka itu menandakan saya harus berusaha lebih lagi, ertinya haru bekerja lebih kuat untuk memberikan yang terbaik pada semua", kata Rossa ketika diminta mengulas mengenai pertikaian sesetengah pihak terhadap kurniaan tersebut kepadanya.

Pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handayani ini berada di Malaysia minggu lalu sebagai tetamu pada sidang media drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta. Rossa diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema drama tersebut yang berjudul Salahkah, berduet bersama Hafiz.

Menggangap kontroversi sebegini sebagai antara rencah sebagai anak seni, bagaimanapun Rossa menyifatkan gelaran yang diperolehinya ini sebagai amanah daripada sebuah kerajaan kepada wakil kerajaan lain. Sekaligus ia dapat mengeratkan lagi hubungan dua negara berjiran, Indonesia dan Malaysia.

"Kontroversi tu pasti ada. Mungkin kerana saya bukan warganegara Malaysia. Tapi saya tak mampu menolak rezeki dari Allah. Saya juga berharap gelaran ni akan mengeratkan lagi persahabatan antara dua negara, Indonesia dan Malaysia. Terima kasih saya pada Tuanku kerana memberi kepercayaan dan penghargaan ini. Mudah-mudahan di masa hadapan, saya boleh menyumbang sesuatu pada kerajaan negeri Pahang.

'Saya akui gelaran ini bukan memudahkan tapi ia satu tanggungjawab yang amat berat. Malah teman-teman di Indonesia ada mengingatkan saya, gelaran ini dianggap bukan dari kerajaan Pahang kepada Rossa seorang saja tapi penghargaan dari sebuah kerajaan kepada negara lain. Saya ini hanya sebagai wakil dari Indonesia", ujarnya sambil tersebyum lebar.

Dalam pada itu, Rossa berharap tidak ada teman-temannya di Indonesia yang cemburu dengan apa yang diperolehinya. Kalau pun ada yang cemburu, kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta ini, mudah-mudahan cemburu mereka itu memberi motivasi pada mereka untuk berusaha lebih kuat lagi.

Mengakui belum benar-benar selesa dengan gelaran tersebut bahkan Rossa juga memberitahu beliau sampaikan membuat sidang media khas kepada para media Indonesia bagi menerangkan lebih lanjut mengenai penganugerahan yang di terimanya itu.

"Saya belum biasa lagi dengan gelaran ini. Pernah kelmarin seperti ada orang panggil saya datuk, tapi saya hanya jalan saja. Saya tidak perasaan yang panggilan dituju pada saya (gelak).

"Selain itu saya juga adakan sidang media untuk menerangkan pada media di sana mengenai gelaran yang saya terima. Saya sendiri kurang faham tapi mujur ada wakil editor dari Malaysia yang bertugas di sana iaitu abang Din yang menerangkan pada para media.

"Ternyata selepas mendengar penjelasan abang Din akhirnya mereka (media Indonesia) lebih ingin tahu tentang masyarakat di Malaysia. Banyak Pencinta Rossa (gelaran untuk peminat), mereka ingin tahu lebih dalam lagi tentang sejarah dan kerajaan Malaysia. Di Twitter saya sudah seperti kaunter pertanyaan pelancongan (gelak)", katanya.

Sebelum mendapat gelaran Datuk, beritahu Rossa beliau sebelum ini pernah juga dikurniakan penghargaan oleh kerajaan solo yang membawa gelaran Kanjeng Mas Ayu Tumenggung Sri Rossa Swarakaloka.

Perkembangan lain, Rossa bakal menjayakan Konsert Destini yang akan berlangsung di UiTM Shah Alam pada 20 dan 21 Disember ini.

 

-mD