Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 7pm

Peminat Malaysia Bikin 'Si Pengkhianat RunningMan' Sebak

..

Kira-kira 3000 peminat hampir membuatkan penghibur yang terkenal dengan jolokan Prince of Asia Lee Kwang Soo, menangis ketika salah satu sesi permainan (game) dijalankan sewaktu di acara Fan Meeting Lee Kwang Soo in Malaysia (FMLKSM) yang berlangsung di KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Ironinya, sedang sekalian peminat yang berada di dewan tersebut seronok dan gembira bersaing menjawab soalan-soalan yang diajukan, lantaran melihat gelagat peminat-peminatnya yang begitu bersungguh-sungguh, membuatkan penghibur yang sedia dikenali sebagai zirafah (kerana ketinggiannya) ini sebak.

..

Sambil menahan air mata daripada mengalir, Kwang Soo lantas berkata kepada perterjemah yang duduk di sebelahnya,

"Permainan ni sepatutnya menyeronokkan tapi mereka telah buat saya rasa cukup tersentuh dan sebak pula. Saya kagum dan terharu dengan mereka.

"Semua tentang saya mereka tahu. Saya sangat menghargainya. Saya tak sangka mempunyai ramai peminat di Malaysia. Saya harap mereka akan terus menyokong saya. Dan saya akan memberikan yang terbaik untuk mereka di masa akan datang", tuturnya dengan nada menahan sebak. Pada skrin layar lebar yang terpapar di tengah-tengah pentas, jelas kelihatan air matanya bergenang.

..

Dalam sesi game tersebut, peminat dicabar dengan soalan-soalan berkenaan diri jejaka berusia 28 tahun ini. Misalnya minum kegemarannya? (Coca-cola), jenis darah? (darah O), buah kegemaran (strawberi), berapa tingginya? (190cm), lulusan Universiti mana? (Dong-Ah Institute of Media and Arts, Broadcasting) hobinya? (melukis) hinggalah ke berapakah saiz kasut idola mereka itu.

Selain itu, pada acara anjuran JS Concert Productions with Faith & D Entertainment serta King Kong Entertainment ini turut diselang seli dengan persembahan nyanyian oleh Kwang Soo. Dia mendendangkan tiga buah lagu iaitu Hug, Because I Love You dan I Believe. Meskipun nyanyian 'bukan makanan' Kwang Soo, namun setidak-tidaknya Kwang Soo buat peminat merasa tersenyum lebar dan terhibur dengan sesekali mempamer aksi-aksinya yang lucu secara spontan.

Mahu Jadi Playboy

..

Memulakan kerjaya sebagai model dan pelakon namun populariti Kwang Soo melonjak sejak menjayakan RunningMan (RM). Dan kerana program no.1 terbitan SBS itulah, namanya meniti dibibir peminat seluruh Asia.

Dalam RM, 'wataknya' yang sering menjadi pengkhianat ('betrayer giraffe') dalam pasukan menyebabkan namanya menjadi bualan. Begitupun, ada saja gelagat kelakar yang dipamer Kwang Soo sekaligus membuat penonton tidak kering gusi. Tidak hanya dengan kelebihan tersebut, ada ketika aksinya dalam RM turut memperlihatkan drinya seorang yang berkarisma dan punya pesona tersendiri.

Malahan sepanjang lebih kurang 2 jam acara FMLKSM dijalankan, tidak putus-putus kedengaran teriakan oleh para peminat yang melaungkan kata-kata pujian buat idola mereka ini. Antaranya, "Oppa, anda hebat! Lee Kwang Soo comel!", "Anda Kacak!" "Anda Menakjubkan!", "Kami Sayang Awak!".

..

Reaksi Kwang Soo ketika teriakan tersebut, dia tidak sudah-sudah menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat dan terima kasihnya pada para peminat.

Tatkala ditanya watak apa yang ingin dilakonkan pada masa akan datang, Kwang Soo menjawab,

"Saya dah pernah berlakon jadi watak jahat dan watak romantik. Mungkin lepas ini saya nak jadi seorang playboy", katanya sambil tersipu malu.

Masih bujang, Kwang Soo turut memberitahu ciri-ciri gadis idamannya,"Saya sukakan gadis yang rendah dan mempunyai senyuman yang menawan", ujarnya pada acara yang turut dihadiri oleh peminat daripada Hong Kong dan Singapura itu.

Sebelum mengakhiri acara sesi bertemu peminat, Kwang Soo berjanji mahu kembali lagi ke sini pada masa akan datang.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong saya. Saya hargai anda semua. Saya juga akan muncul dengan beberapa drama nanti. Saya sangat seronok bertemu dengan anda semua. Saya tak sabar nak beritahu ahli Runningman yang lain bahwa peminat-peminat Malaysia sangat menakjubkan dan saya akan ajak anggota lain datang ke sini, pada masa hadapan.

Kuala Lumpur merupakan destinasi kedua selepas Fan Meeting Lee Kwang Soo yang pertama diadakan di Singapura, pada Ogos tahun lalu.

Untuk pengetahuan, Kwang Soo bukan ahli Runningman pertama yang berkunjung dan mengadakan sesi fan meeting dengan peminat Malaysia. Sebelum ini, di dahului oleh sparta Kim Jong Kook pada bulan Jun tahun lalu. Kemudian Haha pada Disember tahun lalu. Seterusnya giliran Gary, pada hujung minggu ini.

..

..

Lee Kwang Soo mempunyai peminat dari kalangan kanak-kanak hinggalah golongan orang dewasa.Lee Kwang Soo mempunyai peminat dari kalangan kanak-kanak hinggalah golongan orang dewasa.

- mD