Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Hafiz Hamidun Akui Terdesak, Hormati Keputusan Heliza

Kredit foto Danish Haikal.Kredit foto Danish Haikal.

Setiap kali bertemu media, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun tidak lokek untuk bercerita baik tentang kisah cintanya mahupun lepas satu wanita ke satu wanita dikaitkan dengan dirinya.

Malahan sejak tahun lalu ada khabar Hafiz mahu berkahwin denggan wanita pilihannya yang berasal dari Indonesia namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila wanita itu sebenar sudah punya pilihan hati.

Terbaru, dalam satu laporan akhbar, Hafiz menyatakan akan berkahwin dengan seorang penyanyi yang juga seorang penceramah bebas Heliza Helmi dalam masa terdekat ini. Namun kenyataan itu dinafikan Heliza dengan menyatakan dia tidak menerima sebarang lamaran termasuklah dari Hafiz sendiri.

Bertemu beliau pada majlis perlancaran single dan muzik video Jodoh Berdua dan pengumuman konsertnya, di Talent Lounge, Damasara, semalam, Hafiz diminta mengulas mengenai penafian Heliza itu.

"Saya hanya menjawab soalan beberapa pihak yang bertanya saya. Saya kenal dia sejak 2008. Ramai yang kata kami sepadan. Jadi bila orang tanya tentang kami, saya katakan kalau ada jodoh saya tak menolak. Apapun saya menghormati apa saja keputusan dia", kata Hafiz kepada pihak media.

Dalam pada itu Hafiz berkata sikapnya yang terlalu terbuka untuk berkongsi tentang hal cintanya pada umum adalah disebabkan dia kini berasa terdesak mahu berkeluarga.

"Tahun ni, saya dah masuk 30 tahun. Bila tengok kawan-kawan yang sudah berkeluarga, saya rasa nak sangat melalui kehidupan seperti mereka. Saya akui saya terdesak. Terdesak nak ada keluarga sendiri.

"Selama ni saya memang tak ramai kawan. Tapi sejak akhir-akhir ini saya dah semakin aktif di laman sosial twitter dan Facebook. Bahkan sekarang ni saya dah mula mengenali secara rapat beberapa gadis. Saya mencari seorang calon isteri yang boleh menerima, mencintai saya dan berkongsi kebahagian dengan saya", katanya.

Kahwin 14 Februari
Kerana keingginannya yang kuat untuk berkahwin lah, maka tercetus idea untuk menghasilkan single Jodoh Berdua. Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh dirinya sendiri itu merupakan lagu bergenre Pop pertamanya sejak bergelar penyanyi solo.

Lagu tersebut mempunyai mesej-mesej positif yang mampu menarik para pendengar untuk mencari pasangan hidup dan bersama melalui bahtera perkahwinan sehingga ke syurga.

Menurut Hafiz, pada asalnya dia mahu menjadikan lagu tersebut sebagai lagu di hari perkahwinannya.

"Sebenarnya saya dah berangan nak jadikan lagu ni sebagai lagu semasa hari perkahwinan saya nanti. Saya siap terfikir yang saya nak nikah pada 14 Februari. Bukan sebab tarikh tu adalah hari Valentine tapi ia disebabkan hari Jumaat. Tapi nak buat macam mana kan, belum bertemu calon yang sesuai", ujarnya dengan nada berseloroh.

Video muzik Jodoh Berdua telah dirakamkan di Pulau Lombok Indonesia pada bulan November tahun lalu. Sejak dimuat naik pada 30 Disember, video muzik tersebut telah mencecah lebih 100,000 tontonan pada 5 hari pertama dan juga telah mencecah 200,000 tontonan setelah tiga minggu berada di YouTube.

Dalam pada itu Hafiz juga bakal mengadakan Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun pada 1 Februari ini bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang. Ini merupakan konsert solo ketiganya, selepas dua konsert sebelum ini yang telah berjaya dianjurkan di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru.

Konsert secara live akustik ini yang mendapat tajaan sepenuhnya oleh PIHH Development Sdn Bhd ini diadakan secara percuma bersempena dengan ekspo Halal Pulau Pinang untuk kali yang kelima. Selain Hafiz, selebriti lain yang akan memeriahkan lagi konsert tersebut ialah Imam Muda Ashraf, Heliza Helmi dan PU Rahmat daripada rancangan Pencetus Ummah.

- mD