Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 2am

Anzalna Akui Sukar Berlakon Dengan Izzue Islam

Kredit foto Danish Haikal.Kredit foto Danish Haikal.

Berat sebenar untuk pelakon ini membuka mulut tatkala diminta menjelaskan mengenai kontroversi yang tercetus ekoran dia dikatakan berselisih faham dengan pelakon Izzue Islam sewaktu menjalani penggambaran drama 'Aku Isterinya' seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Bagi Anzalna Nasir, dia tidak mempunyai masalah dengan aktor itu seperti yang di dakwa. Malah sebagai seorang pelakon, kata Anzalna sentiasa bersikap profesional.

"Saya tiada apa-apa masalah dengan dia juga isterinya. Sebagai seorang pelakon, saya profesional dan tidak mencampur-adukkan antara kerja dengan soal peribadi. Sebelum ini pun saya pernah bergandingan dengan suami orang seperti Aaron Aziz dan Adi Putra. Tapi tidak pula timbul isu sebegini", kata Anzalna ketika ditemui pada sidang media drama terbaru di slot Akasia di TV3 berjudul 'Aku Isterinya'.

Dalam drama tersebut Anzalna berpasangan dengan Izzue Islam. Namun beberapa minggu lalu timbul cerita Anzalna dikatakan berlebih-lebih terhadap Izzue sewaktu diminta melakonkan adegan intim hingga menyebabkan isteri Izzue yang dikenali sebagai Awin, cemburu.

Tambah Anzalna, dia menghormati Izzue sebagai suami orang juga Awin. Malah dia juga menghormati teman lelakinya kerana itu dari awal lagi dia sedaya upaya menjaga batas. Justeru Anzalna mengakui sukar sebenarnya berlakon dengan Izzue lebih-lebih lagi apabila menuntutnya melakonkan adegan intim.

"Saya akui saya pada awalnya memang susah nak berlakon dengan Izzue. Tapi selama menjalani penggambaran, saya memenuhi kehendak pengarah. Tapi saya tak lebih-lebih. Saya hormati Izzue dan isterinya. Saya juga hormati teman lelaki saya. Jadi untuk babak pegang-pegang pun berhati-hati. Saya dah berikan lakonan seperti mana yang pengarahh inginkan. Pada saya, keakraban tu tak semestinya dengan hanya bersentuhan sahaja", katanya.

Pada masa sama, Anzalna menjelaskan dia tidak berhasrat untuk bersemuka dengan Izzue atau isteri pelakon itu ekoran perselisihan faham tersebut. Tidak mahu memanjangkan hal tersebut,

"Tiada sebab untuk saya berbuat demikian dan melayan perkara yang kebudak-budakkan tambahan pula ia isu kecil dan telah pun selesai. Lagi pun saya tak layan lah nak bergaduh dengan budak-budak," jelasnya.

Selain Anzalna dan Izzue, 'Aku Isterinya' turut dijayakan oleh Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Marissa Yasmin dan Syatila Melvin. Ia bakal bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 bermula 31 Mac ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 7 malam.

Izzue bagaimanapun tidak hadir pada majlis pelancaran tersebut.

 

- mD