Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 9am

Fizo Omar Pujuk Mawar Lelongkan Ribuan Helai Tudungnya

..

Pelakon kacak Fizo Omar mendedahkan isterinya, Mawar Abdul Karim (Mawar), menyimpan ribuan helai koleksi tudung Fareeda. Menurut Fizo, setiap hari Mawar yang juga merupakan duta jenama tudung tersebut akan memakai tudung baru rekaan jenama perniagaan milik keluarga wanita itu.

"Mawar ada simpan beribu helai tudung dalam almari di rumah. Kalau dia dah pakai satu-satu tudung tu, dia tak akan ulang-pakai lagi. Itu juga sebagai satu promosi untuk jenama Fareeda. Mak mertua saya akan buat rekaan dan Mawar bertanggungjawab memakai tudung tersebut sebagai promosi. Jadi memang setiap hari dia akan pakai rekaan baru. Memang koleksi tudungnya sekarang dah beribu tersimpan dalam almari di rumah kami.

"Bukan tak mahu jual tudung-tudung tersebut, tapi Mawar ada cakap yang dia rasa tak sedap hati nak jual ataupun nak bagi pada orang sebab dia dah pakai tudung tu walaupun hanya sekali. Dia rasa tak manis bagi barang yang dia dah pakai kepada orang lain.

Disebabkan dah terlalu banyak, saya ada sarankan supaya jual saja. Sekarang saya tengah cuba puJuk dia untuk buat pre-love (jual dengan harga rendah). Tapi soal harga tu, belum ditetapkan lagi. Dan tak tahu lagi sama ada dia setuju atau tidak", kata Fizo Omar yang juga berkata tidak akan memaksa Mawar sekiranya isterinya itu tidak bersetuju.

Pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sidang media rombongan artis popular bersama penerbangan Air France keempat ke Paris tajaan Raflesia, bertempat di hotel Park Royal, Kuala Lumpur semalam.

Tambah Fizo lagi, dia bersyukur kerana meskipun perniagaan milik mertuanya itu terpalit dengan isu kontroversi beberapa bulan lalu, namun masih ramai pelanggan yang menjadikan Fareeda sebagai pilihan hijab utama mereka.

Malah dia gembira apabila ramai wanita terdiri daripada remaja dan dewasa yang menjadikan isterinya sebagai inspirasi dari segi pemakaian tudung.

""Alhamdulillah, Fareeda sekarang sudah ada 8 cawangan. Saya gembira bila ramai pelanggan, kalau mereka beli tudung Fareeda, mereka akan muat naik gambar di Instagram juga Facebook dan tagkan sekali pada Mawar. Sekarang ni asalkan Mawar muncul saja di mana-mana acara hiburan atau majlis koporat, peminat akan terus menamakan tudung yang dipakai Mawar sempena nama acara berkenaan.

"Misalnya, kalau saya bawa dia ke Anugerah Meletop, nanti adalah keluar nama tudung, 'Tudung Meletop' dan sebagainya. Selain itu baru-baru ini ada seorang remaja yang menunjukkan kreativitinya mengubah tudung bawal yang dipakai dijadikan fesyen tudung Fareeda. Bagi saya remaja itu kreatif. Bukan sebaliknya seperti isu baru-baru ini yang mana hasil rekaan kami diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain berkongsi tentang perkembangan perniagaan milik keluarga mertua, Fizo juga memberitahu dia gembira dengan perniagaannya, Hot Burger yang diusahakan juga semakin berkembang.

"Gerai Hot Burger saya pula sekarang ini sudah ada sebanyak 150 buah gerai di sekitar kawasan Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan terbaru di Johor Bharu. Saya juga sedang dalam perancangan untuk menambah resepi iaitu Hot Burger Hitam (black papper), perisa pandan dan spicy", katanya.

Jumpa Pakar Sakit Puan
Dalam pada itu Fizo juga berkata, seperti pasangan suami isteri lain yang menginginkan cahaya mata, dia dan isterinya masih terus mencuba dan berdoa agar dikurniakan zuriat secepat mungkin.

..

Namun dia mengakui kesibukan dalam menguruskan perniagaan dan dalam masa sama dia sendiri perlu memberi komitmen pada aktiviti seninya, sedikit sebanyak membuatkan mereka berdua tidak terburu-buru.

"Setakat ini belum ada tanda-tanda lagi. Saya selalu juga perhatikan dia, kalau-kalau dia ada muntah-muntah. Memang la ada dia muntah-muntah tapi yang keluarnyaa nasi kerabu, kuih pau...", selorohnya.

Ujarnya lagi, dia ada khidmat nasihat doktor pakar dan mereka dinasihatkan agar tidak berada dalam keadaan tertekan dan tidak sentiasa kuat bekerja sekiranya berhasrat segera mahu segera mendapat anak

"Usia perkahwinan kami baru enam bulan. Masih baru tapi kami memang berusaha untuk mendapatkan anak secepat mungkin. Saya memang sukakan budak-budak. Kalau boleh saya nak anak kembar. Tapi bagi Mawar, dia bukan tidak bersedia mungkin sebab sekarang ni dia nak fokus pada kerja dulu.

"Tapi saya sudah berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan kesihatan. Memang kami tiada apa-apa masalah. Selain tu, kami juga mendapatkan nasihat tentang bagaimana isteri saya boleh mempercepatkan kehamilan. Kata doktor, Mawar tidak boleh berada dalam keadaan tertekan dan terlalu kuat bekerja sebab itu menyukarkannya untuk hamil.

"Doktor juga ada menasihatkan beberapa perkara terutama posisi ketika bersama perlu betul. Jika gagal juga barulah dia akan panggil kami berdua untuk langkah seterusnya. Bulan depan kalau tiada apa-apa lagi (hamil) kami akan ke hospital untuk buat pemeriksaan lanjut. Kami tak putus asa mencuba. InsyaAllah, mudah-mudahan ada rezeki nanti", katanya.

-mD