Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Isu Iklan Ubat Kurus: Siti Nurhaliza Bagi Tempoh 30 Hari

..Selepas pelakon Rozita Che Wan, Datuk Siti Nurhaliza pula menjadi mangsa. Menerusi akaun Instagramnya, penyanyi nombor satu negara itu telah memuat naik sebuah iklan ubat kurus yang menggunakan dua gambarnya sebagai testimoni.

Menerusi gambar yang dimuat naik, Siti menyatakan rasa kurang senang dengan tindakan pihak pengiklan tersebut memanipulasikan gambar-gambarnya semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Lebih memburukkan keadaan, gambar tersebut digunakan tanpa kebenaran selain telah disunting untuk menonjolkan keberkesanan produk tersebut. Selain itu, terdapat testimoni palsu yang ditulis bukan berdasarkan pengalaman Siti menggunakan produk tersebut.

“Saya sedar tentang kewujudan testimoni palsu pil kurus itu menerusi akaun Facebook saya. Waktu itu, saya agak terkejut kerana saya tidak pernah mengambil produk atau suplemen untuk menurunkan berat bandan.

“Tambahan pula, gambar yang diguna oleh pengiklan itu telah disunting bagi menampakkan tubuh saya supaya kelihatan sedikit berisi. Sekali pandang, kita dapat meneka bahawa gambar tersebut telah disunting,” jelasnya seperti yang dilaporkan akhbar Kosmo! hari ini.

Inilah iklan testimoni yang tersebar di Instagram menyaksikan 'transformasi' berat badan Siti.Inilah iklan testimoni yang tersebar di Instagram menyaksikan 'transformasi' berat badan Siti.

Menurut Siti, beliau enggan memanjangkan perkara berkenaan. Namun jika pengiklan itu enggan mengeluarkan gambarnya daripada laman sosial, tindakan undang-undang bakal diambil.

“Setelah menyedari testimoni palsu itu, saya telah memberi peringatan kepada pengiklan tersebut menerusi akaun Instagram saya.

“Jika ia tidak diturunkan dalam masa sebulan, saya akan merujuk kepada pihak berkuasa bagi menghentikan pengiklan itu daripada terus menggunakan gambar saya tanpa kebenaran,” kata Siti sambil memberitahu, dia lebih gemar melakukan senaman secara kerap berbanding mengambil ubat kurus untuk menurunkan berat badan.


sumber : Kosmo!