Fri12192014

LAST_UPDATEFri, 19 Dec 2014 6pm

Ustaz Kazim Elias Beri Peringatan Kepada Artis Yang Bertudung

..

Penceramah selebriti terkenal, Ustaz Kazim Elias menasihati artis-artis berhijrah iaitu mereka yang berhijab agar tidak sekadar tampil dengan pertukaran imej semata-mata tetapi hendaklah mendalami ilmu agama Islam secukupnya.

Bercakap kepada mStar online, Ustaz Kazim atau nama sebenarnya Mohammad Kazim Elias, 42, berkata, perkara itu sebenarnya satu petanda yang baik kerana golongan berkenaan adalah ikon kepada peminat.

"Alhamdulillah… bagus ramai artis yang berhijrah ke arah kebaikkan kerana ia dapat mempengaruhi peminat mereka untuk melakukan perkara sama tetapi biarlah ia disertai dengan ilmu agama yang cukup.

"Jangan hari ini beritahu sudah berubah lalu mengenakan tudung dan terus hendak menjadi seorang ustaz atau ustazah kerana banyak perkara yang perlu didalami mereka terlebih dahulu," katanya.

Tambah Ustaz Kazim, jika golongan berkenaan tidak mempunyai ilmu yang cukup, ia dibimbangi akan meninggalkan kesan sekiranya sesuatu kenyataan yang dibuat akan memakan diri sendiri.

Jelasnya lagi, artis yang berhijrah sepatutnya mempelajari ilmu agama Islam daripada guru bertauliah agar perubahan yang dilakukan menjadi lebih sempurna selain ia dilakukan kerana Allah.