Fri10242014

LAST_UPDATEFri, 24 Oct 2014 6pm

Heliza Kongsi Saat Cemas Dengar Ledakan 50 Biji Bom Ketika di Syria

..

Meskipun sibuk dengan kerjaya seni serta program-program ceramah motivasi namun penyanyi dan pelakon Heliza Helmi sempat juga mengikuti aktiviti-aktiviti amal kebajikan juga misi bantuan kemanusian termasuklah menghulurkan bantuan kepada umat Islam di negara bergolak seperti di Gaza, Syria dan Palestin.

Terbaru, gadis berusia 28 taun ini baru saja pulang dari Syria tiga minggu lalu. Heliza ke sana bersama rombongan Aman Palestin. Berkongsi pengalaman kali ini, Heliza berkata, perasaan yang sama terbit dalam dirinya setiap kali menjejakkan kaki ke negara bergolak itu.

Selama seminggu di sana, perasaan insaf, bersyukur dan tersentuh sentiasa menyelubungi diri gadis ini tatkala melihat kehidupan penduduk-penduduk di sana terutamanya dikalangan kanak-kanak.

"Saya baru balik dari Syria tiga minggu lalu. MasyaAllah, di sana lagi dahsyat kehidupan mereka. Dengan tak cukup makanan dan serba-serbi tak mencukupi.

"Kami bertanyakan pada mereka, apa yang mereka makan? Kata mereka, apa yang kambing makan itulah juga makanan mereka. Ertinya mereka makan rumput. Kadang-kadang mereka makan kucing dan anjing. Bayangkan kami bawa makanan dalam kotak, dan kotak yang diletakkan makanan tu pun mereka makan", katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalnya sebagai duta baru jenama syampu terkenal, Sunsilk, bertempat di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Sebelum ini, Heliza telah menjadi wajah iklan untuk jenama syampu tersebut selama empat tahun. Heliza merupaka duta kedua selepas perlantikan pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah sebagai duta pertama yang dilantik pada tahun 2002.

Sementara itu, bercerita lanjut tentang pengalaman di Syria, Heliza juga berkata dia tersentuh hati dengan reaksi sekumpulan kanak-kanak yang cukup tabah menjalani kehidupan harian yang sentiasa terdedah dengan ancaman dan bila-bila masa saja kawasan mereka di serang oleh tentera rejim Israel.

"Saya terjumpa sekumpulan kanak-kanak ini. Mereka seperti tidak risau akan ancaman yang menanti di hadapan mereka. Sebaliknya mereka dengan penuh semangat berkobar-kobar menyatakaan hasrat mahu ke sekolah.

"Lalu Ustaz yang mengetuai rombongan kami bertanyakan kepada salah seorang mereka tentang di mana ayah mereka. Kanak-kanak itu menjawab, "ayah ada, dia di Syurga". Bila terdengar awapan kanak-kanak itu, kami terkedu, sebak dan tak mampu nak gambarkan bagaimana perasaan kami yang kagum dengan anak kecil itu", ceritanya lagi peuh bersemangat.

Tidak cukup dengan itu, kata Heliza, seperkara yang cukup mendebarkan sepanjang berada di sana ialah apabila ada satu ketika dia bersama rombongannya terdengar bunyi ledakan bom bertalu-talu.

"Semasa berada di sana kami dimaklumkan yang sniper ada di mana-mana. Selain itu, ada satu ketika saya terdengar bunyi dentuman bom. Saya sempat kira, sebanyak lebih kurang 50 kali bunyi dentuman tersebut.

"Namun penduduk di sana, mereka cukup tabah dan menjalani rutin seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku walhal nyawa mereka sentiasa dalam bahaya. Saya kagum melihat semangat mereka meneruskan kehidupan",katanya.

Dalam pada itu, Heliza mengakui, dek kerana sibuk dengan kerjaya juga kera-kerja amal kebajikannya membuatkan dia belum lagi memikirkan soal kahwin.

"Tentang itu (jodoh), saya serahkan pada Allah. Saya pun tak tahu lah bila saya akan berkahwin (senyum). Tapi yang pasti sekarang ini saya masih solo. Saya lebih fokus pada kerjaya dan aktiviti kebajikan saya", tuturnya.

Mengenai perkembangan seni pula, Heliza sedang dalam proses menyiapkan album terbarunya. Kalau tiada aral melintang album tersebut diangka akan dilancarkan sebelum penghuung tahun ini.

 - mD