Mon07282014

LAST_UPDATEMon, 28 Jul 2014 10pm

Khir Rahman Redah Bazaar-Bazaar Ramadan Cari Roti Jala

..

Setiap kali menjelang bulan Ramadan, sepekara yang paling biasa kita semua perkatakan ialah juadah berbuka puasa kegemaran masing-masing. Bagi pelakon dan pengarah Khir Rahman, saat aktu berbuka sering mengingat beliau kepada menu arwah ibunya iaitu roti jala.

Menurut Khir, sejak Ramadan pertama lalu, hampir setiap hari beliau ke bazaar Ramadan untuk mencari roti jala yang rasanya sama seperti buatan ibunya.

"Ini tahun kedua kami sekeluarga berpuasa tanpa ibu. Sepanjang bulan puasa ni saya cari roti jala. Hampir setiap hari saya ke bazaar-bazaar Ramadan nak cari roti jala yang rasanya sama macam arwah ibu saya buat. Sudah merata bazaar saya pergi, tapi sampai hari ini saya tak jumpa lagi.

"Kalau semasa arwah ada dulu, itulah juadah wajib dalam keluarga kami. Kami adik beradik akan berkumpul di rumah abah dan berbuka bersama-sama", kata Khir Rahman ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, 'Tembus' bertempat di e@Cure malam tadi.

Khir Rahman adalah anak kepada pasangan penyanyi Pop Yeh Yeh popular sekitar 60-an iaitu Datuk Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamat.

Tahun ini Khir sekeluarga akan beraya di Kuala Lumpur dan pada hari raya ketiga mereka akan berangkat ke Sabah untuk beraya di kampung isteri adiknya.

"Tahun ini kami lebih bersedia beraya tanpa ibu. Seba tahun lalu rasa macam sekejap sangat sebab arwah pergi pada bulan Mei dan kemudian kita semua dah menyambut Aidilfitri. Tapi tahun lepas kami tak fikir pun tentang nak raya sebab masih lagi bersedih.

"Seperti biasa, selepas solat hari raya, kami adik beradik akan menziarahi pusara ibu dan kemudian berkumpul untuk bermaaf-maafan. Masa tu juga kami saling membuat pengakuan apa yang kami buat sepanjang tahun. Kalau katakan kami ada menipu, kami berterus-terang yang kami menipu. Barulah pengertian kosong-kosong itu lebih bermakna.

"Tahun ni hari raya pertama, kedua dan ketiga kami beraya di Kuala Lumpur. Kemudian kami akan ke Sabah, beraya ke rumah kampung isteri adik saya", katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai filem Tembus pula, dalam filem arahan Ahmad Idham itu Khir melakonkan watak Mazli baik iaitu rakan kepada Hari lakonan Aaron Aziz. Filem yang menelan kos lebih RM1.5 juta itu turut dibintangi oleh aktres popular Indonesia, Luna Maya.

"Sepanjang penggambaran saya tiada masalah, lagipun watak saya tidak la memberi cabaran yang begitu besar. Tapi saya tidak la kata yang terlalu senang untuk saya jiwai karakter Mazli tu.

"Selain itu, saya rasa bertiah dapat bekerjasama dengan pengarah, Ahmad Idham juga Aaron dan Luna Maya. Mereka adalah pelakon yang sangat profesional. Saya kagum dengan cara kera Luna Maya sebab dia seorang pelakon yang berfikir. Setiap kali apa yang dia nak buat, dia mesti banyak bertanya pada pengara dan dia tahu apa yang dia buat", katanya serba sedikit tentang pengalaman sewaktu menjayakan filem kekeluargaan yang penuh dengan konflik itu.

'Tembus' mengisahkan Hari, seorang lelaki yang memengan tanggungawabb besar dalam mengotakan janjinya untuk melihat rumahtangganya semakin dilimpahi kemewahan dengan mengizinkan isterinya, Izza (lakonan Fazura) menguruskan syarikat. Sedangkan dia menjalankan tanggungawab menjaga anaknya, Zara (lakonan Mia Sara).

Dimata masyarakat, Hari dan Izza adalah pasangan ideal yang sukses dalam rumahtangga dan kerjaya. Pasangan suami isteri ini tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa gosip. Pendek kata, tiada apa yang mampu menembusi dunia peribadi mereka.

Namun detik cemas bermula apabila Zara diculik. Dan penculikan misteri itu yang membongkar dan terluahnya segala konflik dalaman yang selama ini dipendam baik Hari, Izza sendiri juga dari orang sekeliling yang rapat dengan mereka.

Adakah Zara dapat ditemui atau dia menadi mangsa kes penculikan kanak-kanak? Adakah mampu Hari dan Izza menembusi benteng yan mereka bina sendiri? Adakah yang salah menerima akibat rasa dendamnya dengan hukuman yang sepatutnya?

Semuanya akan terjawab dalam 'Tembus' yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 28 Julai ini, bersamaan sambutan Aidil Fitri 2014.

- mD