Fri10312014

LAST_UPDATEFri, 31 Oct 2014 7pm

Hanis Zalikha Menangis Teringatkan Kampung

Kredit foto Suhaizul IzharKredit foto Suhaizul Izhar

Kurang dua minggu saja lagi, kita akan menyambut kedatangan Syawal. Seperti kelazimannya ramai warga kota akan pulang ke kampung masing-masing untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara.

Namun bagi pelakon dan pengacara Hanis Zalikha, keterujaan balik kampung sudah tidak dirasai lagi sejak dua tiga tahun lalu.

"Tahun ni saya tak raya di Johor, tak juga balik Kedah. Memandangkan datuk dan nenek di sebelah ayah dan ibu saya sudah meninggal dunia, jadi raya tahun ni kami beraya di Shah Alam saja. Sebenarnya kami dah mula biasa raya di Shah Alam sebab tak balik lagi ke kampung sejak dua tiga tahun lepas" kata Hanis ketika ditemui pada Majlis Berbuka Astro, baru-baru ini.

Tambah pelakon drama 'Jodoh 2' ini, walaupun dia dan keluarga sudah tidak lagi pulang beraya di kampung, namun setiap kali menjelang lembaran, dia akan tetap merindukan suasana dan kemeriahan beraya di rumah datuk dan neneknya.

"Saya suka sangat balik kampung sebelah ibu saya di Parit Tengah Johor. Bila saya rindukan suasana tu, saya sampaikan menangis.

"Paling tak dilupa pengalaman ketika saya kecil, setiap tahun kami sekeluarga akan beraya di Johor kemudian baru balik ke Kedah. Adik beradik saya ada enam orang, jadi bayangkanlah selama 9 jam perjalanan dari Johor ke Kedah kami semua cramp dalam kereta wira aeroback ayah saya. Ayah saya pula tak suka berhenti, berhenti", katanya sambil tertawa.

Sementara itu mengenai persiapan raya, Hanis menyerahkan 100% kepada ibunya dari segi pilihan warna baju raya. Menurut Hanis, tahun ini mereka sekeluarga akan memakai baju sedondon berwarna biru.

"Ibu saya dah beli kain berela-ela warna biru. Saya tak tahu lah fesyen apa raya kami tahun ni, tapi saya serahkan pada dia tentang baju raya. Tugas saya setiap kali nak raya ialah mengemas rumah", katanya.

Kemeriahan Aidilfitri pasti tidak lengkap tanpa pelbagai juadah yang enak-enak. Bagi keluarga Hanis pula, sudah menjadi tradisi di pagi raya, menu masakan ibunya iaitu ayam masak merah dan kuah lodeh antara hidangan wajib.

"Pagi raya ibu saya aka sediakan macam-macam juadah, dan menu paling dinanti ialah ayam masak merah dan kuah lodeh makan dengan nasi impit. Itu kombinasi paling world!

"Hari raya pertama, rumah kami akan diserbu saudara mara gara-gara nak menikmati juadah tersebut", ujarnya sambil tersenyum.

Dalam perkembangan lain, Hanis baru saja selesai mengendalikan program 'Raikan Cinta' musim ketiga dan akan terus kekal mengacarakan program tersebut untuk musim keempat, kelak.

- mD