Thu12182014

LAST_UPDATEThu, 18 Dec 2014 1pm

Luahan Rasa Rossa

 

Pic: Utusan OnlinePic: Utusan Online

DIAM tak diam sudah 10 tahun pemilik nama penuh Rossa Roslaina Sri Handayani memperluaskan bakat nyanyiannya di Malaysia sehingga ke hari ini masih dihargai.

Rossa kian memacu dan menakluk pentas nyanyian Malaysia dengan mempertaruhkan single pertamanya waktu itu, Pudar menerusi album Kembali pada tahun 2005.

Tuah penyanyi berusia 35 tahun bukanlah terhenti di situ sahaja, apabila dia menempah kejayaan luar biasa selepas Pudar, kemudian single Aku Bukan Untuk Mu yang secara mendadak dua single perdana ini tiba-tiba menjadi popular di seluruh stesen radio.

Dek kerana dirinya yang sentiasa bersikap profesional itulah dia disenangi ramai pihak dan tidak hairanlah apabila dia dianugerahi pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang membawa gelaran Datuk.

Ini terbukti kehadirannya dalam industri seni di Malaysia terus disanjungi selain penganugerahan itu bagi mengeratkan hubungan dua hala antara dua buah negara melalui jalinan industri seni suara.

Namun bukan cerita itu yang mahu dikongsikan. Kembalinya Rossa ke Malaysia adalah untuk berkongsi rasa tentang perasaannya yang disimpulkan menerusi lagu yang dimuatkan dalam album Love, Life & Music serta sambutan meraikan penglibatannya selama 10 tahun di Malaysia yang bertempat di Hotel Best Western Premier Dua Sentral, baru-baru ini. Album yang mempunyai 10 lagu ini menghimpunkan ramai penulis lagu hebat seperti Melly Goeslow, Badai Krispatih dan banyak lagi komposer Indonesia yang bekerja keras bagi merealisasikan impian Rossa. Biarpun dia mengambil masa selama tiga tahun bagi mengeluarkan album, dia akui puas.

Saya ambil tempoh begitu lama kerana saya seorang yang sangat cerewet dalam pemilihan lagu yang akan dimuatkan dalam album saya. Saya mahu semua pihak berpuas hati dengan hasil kerja saya di samping dapat memenuhi cita rasa peminat.

Setiap kali memulakan sesi rakaman, saya akan mengambil kira apa pandangan peminat selain melihat sendiri pasaran lagu apa yang semakin mendapat tempat di hati peminat. Saya juga ambil kira genre lagu yang bagaimana menjadi kesukaan halwa telinga peminat saya sendiri. Saya tidak mahu hanya dua lagu sahaja yang menjadi siulan peminat, tetapi saya mahu kesemua lagu saya diminati, sebab itu saya tidak akan mengeluarkan album selagi lagu yang ada tidak sesuai," jelas Rossa yang telah menyimpan lagu duet bersama Hafiz Suip, Salahkah selama tiga tahun sebelum menjadi popular hingga hari ini.

Banyak lagu dalam album ini saya telah simpan selama tiga tahun, iaitu lagu Salahkah duet bersama Hafiz Suip. Saya bersabar untuk menunggu sehingga album saya dipasarkan dan kini Alhamdulillah, sikap sabar saya itu telah menjanjikan kebahagiaan buat diri saya.

Ada yang menarik mengapa judul albumnya begitu, kata Rossa, kesemua lagu-lagu yang terhimpun di dalam albumnya itu mempunyai kisah kehidupannya sepanjang bergelar penyanyi kelas atasan.

Album ini sungguh istimewa buat saya kerana banyak menceritakan tentang hal peribadi saya sewaktu menjadi penyanyi dan sudah tentu tentang muzik. Ertinya ada lagu yang dimuatkan itu menceritakan pengalaman yang terpalit dalam diriku dan juga inspirasi daripada teman-temanku.

Seiring dengan pertambahan usianya yang kini sudah menginjak 35 tahun, sudah pasti ada sedikit kelainan dari susunan muzik lagu dan liriknya bagi menampakkan sisi matang dalam dirinya tapi dibayangi lagi dirinya sewaktu 10 tahun lalu. Pun begitu, ada juga lagu yang di mana liriknya berorientasi pada aspek ‘jualan’ dan aspek penghibur.

Namun jika dipandang dari sudut berbeza, album baharu ini nyata menyerlahkan lagi kematangan penyanyi bertubuh genit ini biarpun bentuk fizikalnya yang kelihatan kecil molek, semua itu tidak menghalang dirinya untuk ‘lari’ dari bergantung kepada satu konsep sahaja.

Lagu-lagu yang terkandung di dalam album ini kebanyakannya menjadi refleksi dari pertambahan usia saya. Saya sememangnya lebih mementingkan kualitas dan komersial dalam pembikinan album bagi memuaskan semua pendengar ku dan aku juga turut senang.

Dalam pada itu juga, Rossa turut berkongsi di sebalik kisah sebenar dalam lagu Hijrah Cinta yang menjadi single terbaharunya itu sama sekali begitu dekat dengan dirinya.

Hijrah Cinta ini mengisahkan tentang teman saya, ustaz Jeffry Al-Bukhari. Selama teman saya itu hidup, dia terlibat dengan najis dadah dan takdir mengubah hidupnya untuk berubah. Dia tidak lagi menjadi penagih dadah, malah sering kali mengabadikan diri pada Allah.

Namun Allah lebih menyayanginya, dia meninggal di usia 40 tahun kerana kemalangan. Saat pemergian dia, saya dan Melly Goeslow dan beberapa teman lain sangat terkesan dengan kehilangannya.

Justeru itu, Melly terus mempunyai idea untuk cipta lagu ini dan saya menyanyikan lagu ini sebagai tanda dedikasi dan rindu kepadanya.

Selain menampilkan lagu Hijrah Cinta, sembilan lagi lagu yang terdapat dalam albumnya itu ialah, Jatuh Cinta Setiap Hari, Sisakan Hatimu, Bukan Bukan, Setia Menanti, Milyaran Abad, Hati Tak Bertuan, As One, Salahkah duet bersama Hafiz Suip dan Kamu Yang Ku Tunggu duet bersama Afgan.

Hargai media Malaysia

Hilai tawa ibu kepada seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Rizki Langit Ramadan berusia lapan tahun masih sama di waktu kemunculan pertamanya di Malaysia. Tutur katanya juga masih sopan dan tiada yang berubah dalam dirinya itu.

Rossa berpendapat albumnya kali ini sungguh bermakna dan bersifat sentimental buat peminat-peminat di Malaysia yang tidak pernah kenal erti jemu dalam terus menyokong kerjaya seninya di negara ini sehingga mampu pertahankan aura aslinya.

Malaysia sudah saya anggap seperti rumah kedua saya. Berulang-ulang alik dari Jakarta ke Malaysia tiada masalah buat diri saya kerana saya begitu senang sekali untuk kembali ke Malaysia.

Ketika diminta berkongsi resipi atau rahsia bagaimana dia mampu bertahan dalam tempoh sedekad dan jika mahu dibandingkan dengan artis-artis yang senegara dengannya, hanyalah bersifat sementara sahaja. Dia yang sering bersifat terbuka dan mudah menerima teguran, sering memandang positif setiap kritikan yang diterima agar dia dapat mengetahui kelemahan dirinya. Itulah serba sedikit perkongsian dari anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat yang tidak mudah lupa diri dan tidak sombong kerana dia mahu bertahan lama selagi dirinya diperlukan di arena hiburan seni suara.

Saya bersyukur kerana sudah genap 10 tahun bertapak di Malaysia. Selain 50 peratus usaha syarikat rakaman Suria Records (SRC) yang banyak membantu menaikkan nama saya, dan lagi 50 peratus itu datang daripada teman-teman media saya di sini.

Saya masih lagi ingat waktu pertama kali menjejakkan kaki di sini, saya dijemput di lapangan terbang oleh staf-staf SRC. Saya diberikan layanan dan kerjasama yang begitu baik dan mesra. Mereka jugalah yang mengatur semua jadual persembahan saya sepanjang berada di Malaysia.

Ujar Rossa lagi, dia turut menyanjungi petugas media di Malaysia yang sudah dianggap seperti saudaranya sendiri.

Jika setiap kali kunjungan saya di sini, saya pastikan akan cari peluang untuk luangkan masa bersama teman-teman media saya setelah usai kerja. Waktu itulah kami akan bergelak tawa bersama-sama.

Sementelahan itu lagi, Rossa juga pernah mengalami waktu sukar dan duka kira-kira enam tahun lalu berhubung dengan kes tuntutan cerai dengan Surendro Prasetyo atau Yoyo yang juga merupakan anggota kumpulan Padi.

Sebenarnya ketika itu saya lagi bersedih apabila surat tuntutan cerai yang dihantar oleh saya ke pejabat agama di Indonesia telah sampai ke pejabat di sana dan ketika itulah juga ramai rakan saya menghubungi saya untuk memberitahu hal itu dan pada masa yang sama saya pula akan membuat persembahan di KL Life di Malaysia.

Setelah habis membuat persembahan, saya berterima kasih kepada teman media Malaysia kerana tiada seorang pun daripada mereka bertanyakan soalan berkaitan isu penceraian saya dan Yoyo. Waktu itu juga para teman media begitu berhati-hati dalam penulisan mereka untuk tidak melukakan hati saya. Disebabkan itulah saya begitu menghargai setiap tugas media, selain membantu dari segi kerjaya dan promosi untuk saya terus kekal di sini," tuturnya sambil menahan sebak.

Belum bersedia untuk bergelar isteri semula

Menyuntik kisah peribadinya pula, Rossa mengaku bahawa dirinya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas perkahwinan pertamanya menemui kegagalan. Rentetan dari kisah sadisnya itu, seakan masih ada terpalit kisah kedukaannya itu dan seperti tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, berikutan itu dia mengambil pendekatan menyerahkan semuanya kepada Tuhan.

Soal perkahwinan itu bukan perkara mudah dan sejujurnya saya masih belum bertemu dengan mana-mana lelaki yang sesuai. Jodoh itu rahsia Allah, sekiranya saya dipertemukan jodoh buat kali kedua, saya pasti akan menerima juga satu hari nanti. Buat masa ini ‘I just keep myself available’.

Rasanya buat album lagi senang jika dibandingkan dengan dapat jodoh. Banyak perkara perlu dilakukan dan untuk kembali menjadi seorang isteri juga bukanlah perkara main-main dan mudah,"" kata Rossa sambil ketawa kecil ketika ditebak soal hal berumah tangga.

--Utusan Online