Wed09242014

LAST_UPDATETue, 23 Sep 2014 11pm

Tangis Nabila Menjiwai Saloma

 

NABILA dan Tony masing-masing menghidupkan karakter Saloma dan P. Ramlee untuk filem biografi Saloma NABILA dan Tony masing-masing menghidupkan karakter Saloma dan P. Ramlee untuk filem biografi Saloma

 HATI Nabila Huda menolak. Dia takut, malah tidak yakin dengan kemampuan diri. Permintaan pengarah filem biografi Saloma, Melissa Saila meminta dirinya melakonkan watak seniwati legenda, Allahyarhamah Saloma tidak pernah tercapai dek akal fikiran Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil.

Pantas Nabila membuang pandang mengingati filem-filem lakonan Puan Sri Saloma. Seorang figura yang mempunyai lantunan suara yang merdu, gaya tarinya yang mempesonakan, mempunyai aura luar biasa dan juga orang kesayangan arwah seniman agung, Tan Sri Dr. P. Ramlee.

Sedangkan, luah pelakon berusia 30 tahun itu, dia jauh sekali untuk disamakan dengan seniwati agung itu.

"Apabila mendapat panggilan daripada Kak Lis (Melissa Saila) untuk datang ke sesi uji bakat watak Saloma, saya memang tak nak pergi. Saya takut. Peminat hanya nampak saya yakin setiap kali mendokong watak. Hakikatnya, saya tiada keyakinan diri.

"Lebih-lebih lagi apabila diminta membawakan watak Saloma. Ia adalah sesuatu yang besar. Sesuatu yang berat. Saya tidak pandai menari, menyanyi apatah lagi untuk miming lagu-lagu era 1970-an.

"Saya juga tidak membesar di era beliau. Saya hanya menonton filem-filem lakonan beliau" ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem biografi biduanita negara, Saloma di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Sungguhpun begitu, anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search itu tidak mahu melepaskan peluang kerana dia percaya, sekali dia melepaskan apa yang dia ada, dia tidak akan dapat peluang itu sekali lagi.

Tanpa sebarang rujukan mengenai watak Saloma, tutur Nabila, dia pergi menghadiri uji bakat tersebut.

Akhirnya, berkat seluruh emosi, jiwa dan raga melakonkan watak Saloma, Nabila berjaya.

Kanvas hidup

Tanpa Melissa, seniwati Mariani dan anaknya, Shasha, kata Nabila, dia juga tidak mungkin mampu melakonkan watak Saloma dengan jayanya.

"Kak Lis ada betulkan beberapa bahagian watak Saloma yang saya lakonkan. Saya juga banyak bertanya mengenai Saloma dengan seniwati Mariani dan juga anaknya Shasha. Selain itu, saya juga melakukan pembacaan dan rujukan menerusi filem dan YouTube beliau untuk meniru lenggok jalan dan bahasa tubuhnya," jelasnya.

Selebihnya, akui Nabila, mood seorang bintang filem klasik itu datang secara semula jadi tatkala tubuhnya dibaluti kostum, rambutnya didandan dan solekan seperti Saloma dikenakan di wajahnya.

Saat itu, Nabila berasakan figura Saloma itu cukup dekat dan roh beliau berada dalam tubuhnya.

Kanvas hidup Nabila sebagai pelakon turut berubah apabila dia mampu membawakan watak seorang ikon fesyen dan bintang kesayangan itu.

"Watak Saloma ini akan terpahat di hati saya sampai bila-bila. Ia merupakan karya yang paling saya puas hati dapat lakonkan. Banyak pengajaran dan kenangan manis yang saya peroleh sepanjang melakonkan watak Saloma. Watak ini juga mampu membuatkan saya tersenyum setiap kali ingin melelapkan mata," ujarnya mengenai watak Saloma yang berjaya mengubah kanvas hidupnya.

Mengenali sosok sebenar Saloma, senyuman terbit di bibir Nabila. Ujarnya, dia suka dengan perjalanan hidup, semangat dan kesungguhan wanita itu.

Biarpun tiada persamaan dengan Saloma, Nabila mengakui, dia mempunyai persamaan dari segi perjalanan hidup dan semangat yang ada dalam diri Saloma.

"Saya suka dengan perjalanan hidupnya. Semangat dan kesungguhan yang ada dalam dirinya. Tidak kisah jika kita tidak meninggalkan harta tetapi dapat memuaskan hati setiap orang dengan karya yang dilakonkan," ungkapnya.

Hakikatnya, penonton hanya menonton filem lakonan dan hanya mendengar lagu nyanyiannya tetapi tidak tahu sikap sebenar Saloma.

Mengenali sisi sebenar Saloma, Nabila memberitahu, Saloma seorang yang bijak menyimpan rahsia. Beliau dikenali rakan sekeliling sebagai wanita yang tenang, suka bergaul baik namun tidak pernah berkongsi rahsia kehidupannya kepada sesiapa.

Beliau juga sangat menyayangi kukunya dan ia dianggap aset paling berharga buat dirinya.

"Saya mengetahui beliau suka menyimpan kuku panjang dan itu merupakan aset utamanya. Sehinggakan di akhir hayat, beliau ada menyuarakan kebimbangan mengenai kukunya yang sudah tidak cantik. Saloma juga seorang yang cukup berahsia mengenai hal peribadinya," kongsi Nabila yang turut memberitahu Saloma juga merupakan seorang ikon fesyen.

Babak sedih

Melakonkan watak Saloma pada usia 15 hingga 45 tahun, Nabila mengakui, dia cukup tersentuh ketika menjayakan watak kesedihan Saloma apabila P. Ramlee menghembuskan nafas terakhir.

Cinta sampai mati. Itu anggap Nabila terhadap Saloma dan P. Ramlee.

"Ketika melakonkan babak P.Ramlee meninggal dunia, saya berasa cukup sedih sebab saya dapat rasakan perasaan sedih dan pilu yang dialami Saloma ketika itu. Sehinggakan ada beberapa kru produksi yang turut menangis melihat babak tersebut dilakukan," ulasnya.

Sedikit mengenai P. Ramlee, beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973, pada usia 44 tahun kerana masalah jantung dan dikebumikan di Perkuburan Muslim Jalan Ampang, Kuala Lumpur

P. Ramlee telah berkahwin sebanyak tiga kali. Jodoh beliau yang terakhir pada tahun 1961 adalah seorang penyanyi yang bernama Salmah Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma.

Filem biografi Saloma yang bakal ditayangkan di Astro First menerusi Astro First Eksklusif pada 28 Ogos ini, dibawakan dalam dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh.

Setiap satu bahagian cerita tersebut mengandungi durasi selama 110 minit.

Ia dilakar berdasarkan perjalanan hidup seniwati yang terkenal mewarnai arena seni suara dan seni lakon sepanjang tahun 50-an sehinggalah 80-an.

Selain Nabila Huda, Saloma turut didokong lakonan Tony Eusoff (P. Ramlee), Azhan Rani (A.R Tompel), Sazzy Falak (Mariani), Sharifah Amani (Siput Sarawak) dan Julia Ziegler sebagai Norizan.

--Kosmo