Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 9am

Scha Al-Yahya Malu Bila Anaknya Menangis di Khalayak Ramai

..

Pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya memberitahu dia berasa malu dan terkedu seketika apabila permata hatinya, Lara Alana, menangis di khalayak ramai. Pengalaman tersebut dilaluinya sewaktu menikmati percutian di Perth, Australia, baru-baru ini.

"Baby (Lara) dia tak suka duduk diam, dia akan menangis kalau dia kena duduk diam. Jadi sepanjang dalam kapal terbang, terpaksa lah dukung jer dia. Terpaksalah Awal bawa dia jalan-jalan masa dalam flight tu.

"Ini pertama kali kami bawa dia jalan jauh. Jadi masa dia menangis dalam kapal terbang tu, saya jadi tak tahu nak buat apa. Awal pula, muka sampai merah. Sebenarnya kami rasa malu dan segan dengan penumpang lain bila baby kami menangis.

"Sebelum ni kalau kami pergi melancong, bila nampak ada famili yang bawa sekali baby mereka naik kapal terbang, mesti kami akan rasa macam kurang selesa. Sebab bayi tu mesti akan meragam dan ia agak menganggu ketenteraman orang lain. Tapi bila kena pada anak sendiri, baru lah kami tahu macam mana perasaannya.

"Tapi bila sampai kat sana dia behave pula...", kata Scha sambil tergelak kecil ketika di temui di majlis pelancaran koleksi musim luruh jenama fesyen Ecco di The Bee, Publika, baru-baru ini

Kongsi Scha lagi, sudah tiga bulan bergelar ibu tertanya membawanya satu perubahan ketara pada dirinya namun diakui ia pengalaman yang menyeronokkan. Malah suaminya, Awal Ashaari turut mengalami perkara yang sama. Dan kalau bab menguruskan baby, kata Scha Awal lebih arif berbanding dirinya.

"Sekarang ni saya dan Awal mengalami perubahan yang ketara. Kalau dulu, keutamaan saya hanya pada Awal. Sekarang ni, apa-apa yang kami nak buat, keutamaan diberikan pada baby. Misalnya kalau nak keluar rumah tu biasanya kami ambil masa bersiap sejam dua sebelum keluar. Tapi sekarang 3,4 jam sebelum keluar kena siapkan baby dulu. Rutin harian pun jadi banyak berubah.

"Antara saya dan Awal, Awal lagi pandai uruskan baby sebenarnya. Mula-mula dulu, dia yang selalu mandikan. Baby tak meragam sangat, dia hanya menangis kalau dia nak minum. Kalau di waktu malam, dia akan bangun 2 jam sekali untuk menyusu", katanya mengenai perihal anak perempuan sulung mereka yang lahir pada 22 Julai lalu.

Disebabkan tidak mengambil pembantu, Scha dan Awal terpaksa bergilir-gilir untuk menjaga Lara Alana.

"Buat masa sekarang kami bergilir-gilir jaga dia. Sebab itu kalau saya nak terima satu-satu tawaran tu, saya perlu pastikan Awal tak sibuk. Tapi kadang-kadang kalau Awal terlalu sibuk, saya terpaksa tolak demi nak jaga baby" katanya yang buat masa ini masih tidak mengambil sebarang tawaran berlakon tetapi hanya kembali mengendalikan rancangan Muzik-Muzik.

Dalam pada itu Scha turut mengulas mengenai ada segelintir pihak yang memberikan komen kurang bersetuju apabila dia dan suaminya membawa Lara melancong ke Perth. Ini kerana ada yang berpendapat, Lara masih terlalu kecil untuk dibawa dalam perjalanan yang jauh, menaiki kapal terbang dan dengan cuaca yang berbeza ketika di sana.

Kata Scha, ada betulnya pendapat sesetengah pihak itu namun sebelum membuat keputusan tersebut, dia dan Awal sudah membuat persiapan rapi untuk bayi mereka.

"Memang betul cakap mereka tu. Tapi kami dah buat persediaan rapi. Doktor pun benarkan dia 'terbang' dan dah ada persediaan kalau terjadi apa-apa. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sepanjang lima hari kami di sana. Baby, dia suka cuaca sejuk-sejuk.

"Saya dan Awal kaki melancong, jadi ini juga sebagai pendedahan awal pada baby. Kami nak biasakan dia dengan suasana di luar dan di samping itu ia boleh kuatkan imunisasi badan baby", katanya.

- mD