Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 2am

"Kenal Lah Saya Sebagai Kayda, Bukan Anak Sheila Majid"

Kredit foto Suhaizul Izhar.Kredit foto Suhaizul Izhar.

Dia bukanlah baru dalam pentas nyanyian Hip Hop. Namun tidak lah juga terlalu lama. Dia mula berjinak-jinak dengan genre muzik tersebut sejak 10 tahun lalu dan kerap membuat persembahan di pentas indie.

Bagaimanapun kemunculannya selama ini lebih kerap di sebut-sebut sebagai anak kepada Ratu Jazz Datuk Sheila Majid berbanding namanya sendiri. Secara tidak langsung timbul dakwaan kononnya Kayda Aziz menumpang populariti ibunya.

Bertemu gadis berusia 23 tahun ini pada majlis Majlis Pengisytiharaan Hunny & Kayda bersama Warner Music Malaysia, di Menara TSR, semalam, Kayda berkata, bukan dia tidak suka dikenali sebagai anak Sheila Majid. Tapi gadis kecil molek ini optimis membuktikan yang dia juga mampu berdiri di atas bakat dan usahanya sendiri.

"Tak dinafi, saya kecewa dan pernah sampai rasa menyampah juga bila selalu saja ada cakap-cakap yang kata, saya tumpang populariti ibu saya. Saya tertekan sebab kerana dakwaan itu sampai kan orang lupa nama saya. Saya mahu orang kenal saya sebagai Kayda...

"Apapun, saya bersyukur dan bangga sebab menjadi anak kepada dua insan seni yang berbakat besar dalam dunia muzik. Tapi tak bermakna saya tak mampu nak buktikan yang saya juga boleh berjaya dengan usaha sendiri. Kalau betullah, saya ni tumpang populariti ibu saya, tentu 10 tahun dulu saya dah buat album", katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan menumpang glamor ibunya.

Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda merupakan anak hasil perkahwinan Sheila dengan komposer dan penerbit muzik, Datuk Roslan Aziz. Mereka juga dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Megat Abdul Majid Aziz. Selepas bercerai Sheila berkahwin dengan pemuzik, Acis dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Khadeja Zaireen Murshim dan Khalefa Laila Murshim.

Dalam pada itu, tambah graduan ijazah sarjana jurusan psikologi ini, dia sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapanya untuk meneruskan kariernya dalam dunia nyanyian.

"Ibu bapa saya tak pernah pun persoalkan pilihan saya mahu menyanyi sebaliknya dia memberi sokongan kepada saya.

"Malah projek kolaborasi bersama Hunny ni, ibu saya tak campur tangan. Dia cuma berpesan kalau saya serius dalam bidang ini, saya mesti bersungguh-sungguh dan beri komitmen 100% dan jangan buat separuh jalan", katanya yang turut menyatakan tidak akan melepaskan peluang sekiranya diberi kesempatan menyanyi lagu dalam genre selain Hip Hop pada masa akan datang.

..

Sementara itu, berkongsi tentang minatnya pada genre Hip Hop, Kayda berkata, minat tersebut timbul dek kerana dia dibesarkan dan diperdengarkan dengan pelbagai genre muzik termasuk Hip Hop.

"Saya dibesarkan dengan pelbagai jenis muzik. Tapi saya lebih pada Hip Hop sebab masa kecil dulu, saya dan sepupu-sepupu saya sering dengan lagu-lagu macam kumpulan Nico, KRU dan Too Phat. Saya suka gaya persembahan mereka. Jadi, saya pun cubalah tiru gaya mereka, saya praktis dengan lagu Too Phat. Lama-lama saya semakin minat dengan rapping", katanya.

Mengenai projek kolaborasi bersama Hunny Madu pula, Kayda berkata peluang tersebut secara tidak langsung membuak melangkah setapak untuk mereka menempa nama di pentas muzik arus perdana. Malah kemunculan mereka ini kerana disifatkan sebagai masa yang tepat memandangkan selama ini nyanyian rap lebih dipelopori oleh kaum lelaki. Justeru mereka bukan saja mahu mahu membuktikan tiada penghalang bagi kaum wanita untuk menceburi bidang rap. Sekaligus memberi inspirasi kepada peminat-peminat muzik menerusi dua single mereka 'Go Hard or Gostan' dan 'Gucci Dowh'.

Jelasnya lagi, idea mahu berkolaborasi bersama hos 'Nasi Lemak Kopi O' itu pada mulanya hanyalah sekadar projek suka-suka. Tambah mudah apabila keserasian mereka senang wujud memandang mereka sudah saling sejak 10 tahun lalu.

"Sebenarnya saya dan Hunny dah lama kenal. Hunny kenal saya masa umur saya 14 tahun. Masa tu saya baru nak berjinak-jinak dalam nyanyian rap. Sehinggalah tahun kami sempat berjumpa dan timbul lah idea nak berkolaborasi. Kami lancar mixtape yang mengandungi 14 lagu iaitu lima lagu ciptaan Hunny, lima lagu ciptaan saya dan empat lagu ciptaan bersama.

"Tapi tidak di sangka-sangka langkah kami mendapat perhatian pihak Warner Music dan mereka bersetuju untuk lancarkan single 'Go Hard or Gostan' dan 'Gucci Dowh'. Dengan ada platform ini, buat kami bertambah semangat untuk meneruskan cita-cita kami", katanya.

- mD