Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Fiza Sabjahan Belum Terfikir Cari Pengganti

..

Setiap sesuatu yang terjadi itu, pasti ada hikmahnya. Bagi personaliti TV3, Fiza Sabjahan, kegagalan rumah tangga yang dialami ternyata memberi seribu satu hikmah dalam kehidupannya sekarang.

Kata pengantara Wanita Hari Ini (WHI) ini, dia bersyukur dan gembira menjalani kehidupan disamping keluarga tersayang.

"Alhamdulillah saya bahagia dan senang dengan kehidupan sekarang. Apa yang jadi ada hikmahnya dan ia satu pengalaman untuk saya sendiri dalam cuba memperbaiki diri.

"Saya tinggal bersama keluarga, mak dan nenek. Bila kita sudah tidak ada tanggungjawab (sebagai isteri), saya ada lagi banyak masa dengan keluarga, lebih rapat dengan mereka. Saya juga lebih bebas, tak perlu risau kalau saya kerap ditugaskan keluar Kuala Lumpur dan sebagainya", katanya berkongsi serba sedikit mengenai kehidupannya kini selepas bercerai kira-kira lapan bulan lalu.

Pemilik nama sebenar Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, 32, ini ditemui pada sidang media pengumuman pengacara dan pengacara bersama bagi Anugerah Skrin (ASK2014) bertempat di Sri Pentas, baru baru ini.

Selain Fiza, lagi selebriti turut terpilih mengendalikan malam kemuncak yang akan berlangsung pada 7 November ini iaitu, pelakon Syukri Yahya, Zul Ariffin, Tasha Shila, Amyra Rosli Nabila Huda dan Fara Fauzana. Pada malam itu mereka akan digandingkan bersama pengacara utama, Fahrin Ahmad dalam setiap segmen.

Sementara itu diusik dengan pertanyaan mengenai sejauh mana kebenaran desas desus dia kononnya ada menerima sejambak bunga daripada seseorang yang istimewa, jawab Fiza,

"Oh, baru-baru ni hari jadi saya. Jadi, ada lah yang bagi bunga. Itu saja", katanya sambil tersenyum.

Fiza kemudian berkata lagi, dia belum bersedia untuk kembali bergelar isteri meskipun sejak bercerai ramai lelaki yang cuba mendekati dirinya.

"Tak dinafi memang ada yang cuba mendekati saya. Tapi mungkin sebab status saya sekarang membuatkan saya lebih berhati-hati. Saya belum terfikir dan merancang untuk berkahwin lagi.  Buat masa ini keluarga serta kerjaya lah keutamaan saya sekarang", tuturnya.

Menyentuh mengenai perkembangan kerjayanya pula, dia berasa bertuah kerana sepanjang tujuh tahun berkhidmat di stesen Media Prima Berhad, kerap kali dia dieri peluang mengendalikan pelbagai program terbitan stesen tersebut. Malah Fiza akui dia semakin diterima ramai penonton berbanding di awal kemunculannya dulu.

Lantas boleh dikatakan dia antara personaliti TV3 yang paling menonjol masa kini sekaligus penyambung legasi ikon terdahulu seperti Wan Zaleha Radzi, Norazlina Redzuan dan Norzie Pa'wan Chik. Dalam erti kata lain, Fiza merupakan anak emas TV3.

Anak emas? Saya harap lah kan... (gelak)", balasnya spontan.

"Saya rasa untuk sampai ke tahap ikon itu belum lagi.  masih banyak lagi ilmu dan pengalaman yang perlu saya timba.

"Saya rasa sepanjang tujuh tahun bergelar personaliti TV3, memang ada awalnya ramai tidak mengenali saya, ketika itu kerjaya saya bermula dengan mengacarakan Nona. Cuma dua tahun kebelakangan ini ramai yang semakin kenal saya, mungkin juga kerana beberapa program sampingan yang saya kendalikan seperti Anggun, Sembang Sahur dan yang akan datang, satu program khas berjudul 'Sembang Ustaz'", katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.


- mD