Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 2am

Saya Bukan Hipokrit - Daiyan Trisha

..

Pelakon dan penyanyi yang semakin mencipta nama, Daiyan Trisha mengambil langkah tidak terlalu mendedahkan kepada umum mengenai perihal peribadinya di laman sosial seperti di Instagram demi menjaga nama keluarga juga hati peminat ciliknya.

Kata gadis berusia 22 tahun ini, seringkali mendapat tawaran berlakon untuk saluran Astro Ceria membuatkan dia lebih dikenali dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, dia sebolehnya mahu menunjukkan contoh terbaik kepada peminatnya.

"Apabila mempunyai peminat kanak-kanak, saya perlu menjaga setiap tingkah laku saya dan mengelak daripada terlalu mendedahkan hal peribadi di dalam laman sosial seperti Instagram (IG).

"Tapi, sebetulnya saya pun bukanlah jenis yang suka mendedahkan semua hal diri saya di IG. Kalau dari segi pergaulan, saya jarang keluar bersosial dan pada masa lapang saya lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

"Bukan saya hipokrit tapi ada baiknya juga saya berjaga-jaga dalam setiap apa yang dilakukan sama ada penampilan dan percakapan, ia juga untuk kebaikan karier sendiri.

"Mungkin kalau saya sudah sampai di peringkat umur apabila saya bersedia, saya kan berkongsi dengan mereka," katanya yang baru selesai menjalani pengambaran drama Dee yang kini disiarkan di saluran Astro Ceria.Daiyan ditemui pada sidang media 9 Selebriti Asia Tenggara Menjadi Puteri-Puteri Disney di Kuala Lumpur baru-baru ini diumumkan sebagai pelakon tempatan bersama Marsha mewakili Malaysia dalam menjayakan projek tersebut.

Ini juga merupakan penglibatan kali kedua Daiyan dalam projek Disney kerana sebelum ini dia terpilih dikalangan penyanyi di Asia Tenggara yang menyanyikan lagu tema Puteri-Puteri Disney bertajuk The Glow.

..

Mengenai pemilihannya diberi kepercayaan memengang watak Snow White, Daiyan menyifatkan tawaran berkenaan seolah mengubah mimpinya menjadi kenyataan.

Katanya, sejak kecil dia gemar menonton siri kartun terbitan Disney sehinggakan mempunyai angan-angan menjadi seperti puteri dalam kartun berkenaan.

"Disney ibarat ibu bapa kedua saya. Sewaktu kecil saya memang gemar menonton siri kartun Disney dan ia bukan sekadar kartun. Saya suka semua karakter puteri yang di tampilkan kerana masing-masing mempunyai ciri positif dan sifat tersendiri yang memberi inpirasi kepada semua orang.

"Kalau dengar lagu-lagu dalam siri Disney, buat kita macam khayal sekejap. Saya minat menyanyi pun kerana inspirasi siri kartun Disney yang saya sering tonton.

"Saya paling suka watak Belle dalam Beauty & The Beast kerana wataknya mengajar saya jangan cepat menilai sesuatu hanya dari luaran sahaja. Jika putera pula, saya minat Hercules.

"Rasa bertuah dan bangga dapat mewakili Malaysia daam projek ni. Sepanjang penggambaran saya seronok menjadi Snow White yang digambarkan sebagai seorang puteri penyayang dan mengambil berat tentang orang di sekelilingnya.

"Sifatnya juga mengajar saya untuk sentiasa merendah diri," katanya yang mempunyai Diploma Pentadbiran Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.

Memulakan karier nyanyian pada usia 16 tahun, bakatnya mula diperketengahkan menerusi laman sosial Youtube.

Muncul bersama band, dia pernah melancarkan album solo berjudul Jalan dan singlenya berjudul Kerana Kau mendapat lebih 700, 000 tontonan di YouTube. Dia juga pernah dinobat sebagai Personaliti Media Sosial dalam program Malaysia Hari Ini.

"Selain berlakon, sekarang sedang mempromosikan single kedua berjudul, Jatuh juga single The Glow. Saya juga dalam perancangan mahu lanjutkan pengajian di peringkat Ijazah dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa.

"Walaupun saya minat pada dunia seni tapi saya juga minat dalam perniagaan dan gemar subjek matematik. Atas faktor itu, saya mengambil pengajian dalam jurusan perniagaan", katanya.

- mD