Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Pekin Sebagai Wanita Bergaya Topi Keledar RM45,000

Penampilan Pekin sebagai Kamelia dalam fiem terbarunya, Coverina.Penampilan Pekin sebagai Kamelia dalam fiem terbarunya, Coverina.

Pelakon berbakat, Pekin Ibrahim, 33, bersedia dengan kontroversi apabila tampil menjadi perempuan dalam filem terbaru, Coverina arahan sulung pengarah, Khalid Nazri.

Berbeza dengan karakter serius yang lazimnya dilakonkannya sebelum ini, Pekin menyangkal pernampilan itu sengaja mahu memperlekehkan golongan pondan jauh sekali merendahkan martabat kaum wanita

Jelasnya, filem tersebut bukan mengetengahkan isu golongan lembut mahupun mana-mana pihak sebaliknya, memaparkan jalan cerita yang ringan dan komedi serta membawa mesej tentang kejujuran.

"Dalam filem ini, saya bukan pondan atau mak nyah. Saya sebagai perempuan sebenar dan memegang dua watak iaitu Kamal dan Kamelia.

"Bagi saya, kritikan itu perkara biasa. Saya sudah bersedia dan tahu apa yang saya kena jawab nanti jika sekiranya, ada isu atau kontroversi yang tercetus sebaik filem ini ditayangkan.

"Filem ini tidak memperlekehkan mana-mana golongan baik wanita atau mak nyah. Ceritanya ringan dan kelakar merujuk kisah seorang lelaki yang kurang keyakinan diri tetapi apabila menjadi perempuan, dia rasa lebih yakin dalam setiap apa yang yang dilakukan.

"Sebenarnya, mesej yang hendak disampaikan ialah kita tidak perlu menjadi orang lain tetapi perlu jujur pada diri sendiri. Saya berharap tiada apa-apa isu yang tmbul dan ramai penonton akan menonton filem ini," katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Belum pun ditayangkan, filem ini hangat diperkatakan ramai di laman sosial selepas 'trailer' filem terbitan SPS Jaya Sdn Bhd ini boleh ditonton di YouTube sejak 11 Januari lalu.

"Saya tahu gambar saya berpenampilan seperti perempuan tersebar dan menjadi bualan. Namun, bukan saja watak saya yang menjadi bualan tetapi ada tarikan lain iaitu topi keledar merah yang saya pakai dalam filem itu yang membuatkan filem ini menjadi 'viral'.

"Dalam kalangan mat motor, mereka tahu yang topi keledar itu adalah edisi khas dan harganya sangat mahal mencecah RM45,000," katanya.

Suka Pakai Skirt Pendek

Akui Pekin, dia menyukai wataknya kali ini kerana memang sudah lama menantikan peluang untuk menjadi perempuan dalam lakonannya. Begitupun, tidak mudah sebenarnya untuk dia menjadi Kamelia kerana karakter tersebut mempunyai cabaran tersendiri.

Justeru, Pekin banyak membuat pemerhatian terhadap gaya dan cara ramai wanita di sekelilingnya untuk menjiwai watak itu.

"Sebelum ini saya pernah membawakan watak lembut tetapi ini kali pertama saya berlakon sebagai perempuan. Payah dan mencabar watak ini sebab saya perlu nampak asli sebagai seorang perempuan.

"Pakai kasut tinggi memang susah dan saya kena kawal cara bercakap, berjalan, lenggok dan gaya. Malah, Kamelia adalah seorang yang gedik dan saya perlu menjadi gedik.

"Mungkin sebelum ini, saya lebih banyak mendapat watak serius tetapi sebenarnya, ramai tidak tahu saya seorang kelakar dan apabila ditawarkan watak ini, saya terus setuju kerana saya mahu mencabar diri tampil sisi lain dan berbeza.

"Penonton memang akan tahu saya menyamar tetapi untuk menampakkan saya betul-betul perempuan, saya perlu buat penonton percaya dan itu yang susah.

"Saya kena pastikan lakonan saya tidak nampak murah dan menyelami hidup sebagai perempuan seperti apa yang mereka suka dan tidak, Saya banyak melihat sambil memerhati wanita dan daripada situ, saya cuba belajar gaya dan cara mereka," ujarnya.

Mengenai pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang penggambaran, Pekin menyatakan ada satu babak Kamelia diragut dan babak itu memperlihatkan dia memakai skirt pendek paras paha.

Baginya, penampilan itu melucukan tetapi berbangga kerana tidak menyangka dia boleh melakonkan babak itu dengan baik.

"Rasa lucu dan pada masa sama, saya rasa bangga dan suka sebab saya tidak ada bulu kaki. Sebenarnya, saya cukur bulu kaki saya dan tidak sangka saya berjaya melakonkan babak itu," katanya.

Bersama Pekin, filem ini juga dibintangi Siti Elizad dan Cat Farish yang akan ditayangkan bermula 19 Februari nanti.
 
- mD