Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Saya Tidak Berminat Wujud Too Phat - Joe Flizzow

..

Penyanyi hip hop, Joe Flizzow, 37, tidak berkecil terhadap kenyataan penulis lagu dan komposer, Malique Ibrahim yang menyatakan dia tidak berminat untuk kembali bersatu sebagai Too Phat.

Akui Joe, dia juga sendiri tidak pernah terfikir untuk mewujudkan semula kumpulan itu yang pernah membawa mereka bertapak dalam industri hingga bergelar duo Hip Hop yang diminati ramai.

Baginya, Too Phat adalah satu pengalaman pahit manis dan sejarah abadi yang sentiasa tersemat dalam dirinya dan tidak mungkin 'magis' mereka ketika era 90-an dulu boleh tercipta semula. Sebagai sahabat bahkan mereka pernah jadi rakan seperjuangan, Joe menghormati Malique.  

"Saya tidak pernah berminat hendak mewujudkan semula Too Phat. Kalau saya mahu, sudah lama saya melobi dia (Malique) tetapi saya tidak berminat paksa orang buat sesuatu yang dia tidak suka.

"Saya tidak berminat membuat sesuatu yang tidak mendapat perhatian sepenuhnya.

"Orang mungkin lupa Too Phat adalah sebuah kumpulan bukan individu. Dulu semua perkara macam muzik dan lagu-lagu, semua kami buat bersama.

"Saya sudah bekerja dengan ramai orang dalam industri ini tetapi keserasian antara saya dengan Malique lain. Magis itu tidak mungkin akan terjadi lagi sekali dan saya realistik perkara itu tidak akan terjadi.

"Too Phat tetap menjadi sebahagian hidup saya. Selepas Too Phat, saya akui kena mulakan kerjaya semula daripada bawah," katanya ketika ditemui pada sidang media Muzik-Muzik 30 di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor, semalam.

Menurutnya, dia berdepan pelbagai cabaran selepas Too Phat 'berkubur' dan nekad meneruskan apa yang ingin dilakukan.

"Saya mulakan dengan syarikat rakaman sendiri padahal ketika itu saya tidak tahu apa-apa tentang syarikat rakaman. Sejak tahun 2007 saya buat macam-macam usaha hingga 2011 baru saya stabil," katanya.

Malique dalam satu kenyataan di laman rasmi syarikat rakamannya, Qarma Musiq pada 1 Februari lalu menyatakan dia tidak berminat untuk menghidupkan semula Too Phat atau membalas kepada mana-mana lagu yang dikatakan berkaitan dengan dirinya.

Malique juga memberitahu dia tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan tidak pernah membalas "khabar baik, bro" iaitu merujuk kepada kononnya dia 'menjawab' lagu Apa Khabar.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Melissa Mauren ini turut mengucapkan tahniah kepada Joe atas kejayaan 'Apa Khabar' menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas jawapan Malique menafikan yang dia membalas lagu Apa Khabar, Joe menyatakan dia sedia maklum sahabatnya itu tidak mempunyai apa-apa akaun laman sosial.

Sebaliknya, Joe mengganggap kenyataan Malique itu sebagai penjelasan mengenai lagu-lagu ciptaannya sekaligus menganggap ia adalah isu yang sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan atas kemenangannya pada AJL29.

"Saya tahu Malique memang tiada akaun Twitter atau Instagram. Dalam kenyataan dia, lagu Rindu bukan jawapan pada Apa Khabar..

"Saya anggap kenyataan itu sebagai memberi penjelasan tentang karyanya yang tiada kena-mengena dengan hal lain.

"Saya sebenarnya tidak pernah mengharapkan dia membalas lagu Apa Khabar apatahlagi di laman sosial. Kalau hendak balas, dia boleh terus hantar SMS.

"Lagu Apa Khabar sebenarnya untuk peminat Too Phat tetapi ramai yang ingat lagu itu untuk Malique.

"Apabila Too Phat sudah tiada lagi, ramai yang ingat puncanya sebab saya kononnya saya degil dan keras kepala. Jadi, lagu itu adalah penjelasan saya dan saya lega kerana dapat penjelasan kepada semua orang," katanya.

Katanya, 'Apa Khabar' dipasarkan pada November 2013.

"Sekarang sudah Februari, bermakna sudah 15 bulan. Kalau betul ada, kenapa baru sekarang?

"Adakah sebab Apa Khabar menang Juara Lagu? Saya rasa isu ini sengaja ditimbulkan pihak yang saja mahu cari perhatian," katanya yang turut menmberitahu sudah lama tidak berjumpa dengan Malique selepas kali terakhir sekitar Oktober tahun lalu beberapa bulan sebelum album Havoc dilancarkan.

Dalam perkembangan lain, pemilik syarikat rakaman Kartel Record ini sekarang menumpukan perhatian pada projek album terbaharu dua artis naungan labelnya iaitu SonaOne dan Ila Damia yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Selain itu, saya akan lancarkan single Baik dan kita sudah merakamkan muzik video lagu ini di New York.

"Tak dinafikan, selepas kejayaan Apa Khabar, memang saya agak tertekan dari segi pemilihan single seterusya sebab ramai yang mengharapkan lagu selepas ini adalah lagu yang lebih puitis dan sastera.

"Namun, sebenarnya dalam album Havoc saya memang sedia ada lagu sebegitu seperti Air Mata, Tabir Cinta dan Apa Benar.

"Single Baik lain daripada Apa Khabar kerana liriknya lebih santai dan ada penggunaan bahasa pasar. Sebelum ini, sesetengah pihak ada mempertikaikan apabila saya gunakan bahasa pasar dalam lirik tetapi mungkin ada yang lupa bahawa saya bukan dalam 'perniagaan' bahasa tetapi 'perniagaan' berkomunikasi.

"Komunikasi mempunyai bermacam cara misalnya kalau tepuk tangan dan kenyit mata, itu juga sudah di kira komunikasi," katanya.

- mD