Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Siwon Ajak Gadis Malaysia Kahwin

Kredit foto Fikryyoung.Kredit foto Fikryyoung.

Baru-baru ini penyanyi, pelakon dan idola sensasi kelahiran Korea, Choi Siwon, 28, memuat naik status mengejutkan ramai peminat apabila memberitahu dia sudah mempunyai kekasih hati.

Siwon menulis "Sorry Gorgeous, I'm Taken". Namun status yang dimuat naik menerusi laman Instgramnya itu tidak pula disertakan sebarang gambar.

Status itu menjadi tanda tanya sekaligus ramai mula berteka teki, siapakah gadis bertuah yang berjaya mencuri hati idola pujaan mereka ini. Selama ini tidak pula Siwon digosipkan dengan mana-mana selebriti wanita apatah lagi mempunyai teman wanita.

Namun, tidak lama kemudian anggota kumpulan Super Junior ini memuat naik satu lagi status dengan kapsyen sama dan kali ini disertakan gambar menunjukkan suasana di dalam stadium yang dipenuhi ribuan ELF (gelaran untuk peminat fanatik Super Junior). Maka, ramai peminat lega.

Sementelah ketika hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini sempena siri jelajah mempromosikan filem terbarunya, Dragon Blade, jejaka berlesung pipit ini sempat diusik dengan pertanyaan bila dia akan berkahwin.

"Ya, saya memang sudah bersedia mahu berkahwin cuma kurang yakin sikit sebab lagipun belum ada lagi calon yang sesuai. Tapi saya terbuka, kalau ada jodoh dengan gadis Malaysia, apa salahnya," katanya pada sidang media Dragon Blade di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Siwon, turut hadir barisan pelakon antarabangsa lain yang terlibat dalam projek filem berkenaan iaitu aktor antarabangsa kebanggaan Malaysia, Datuk Jackie Chan bersama aktor Hollywood, John Cusask, pemenang Anugerah Academy Adrien Brody serta dua aktres jelita, Lin Peng dan Mika Wang.

Barisan pelakon Dragon Blade (dari kiri) Siwon, Adrien Brody, Datuk Jackie Chan, John Cusack, Lin Peng dan Mika Wang ketika sidang media di ibu negara, kelmarin. Kredit foto Cipotredz.Barisan pelakon Dragon Blade (dari kiri) Siwon, Adrien Brody, Datuk Jackie Chan, John Cusack, Lin Peng dan Mika Wang ketika sidang media di ibu negara, kelmarin. Kredit foto Cipotredz.

Sementara itu, diajak berkongsi pengalaman membintangi filem terbitan kerjasama produksi China dan Korea itu, Siwon memberitahu dia sangat berbangga dan bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada pelakon filem itu.

Sekaligus, dia menganggap ia sebagai satu peluang keemasan kerana dapat berlakon dengan bintang yang cukup dikaguminya, Jackie Chan.

"Saya gembira dan rasa bertuah jadi sebahagian daripada filem ini di samping barisan pelakon hebat. Siapa yang tidak teruja apabila dapat berlakon bersama Jackie Chan.

"Beliau seorang yang sangat hebat dan sentiasa merendah diri. Selain itu, babak berlawan antara yang mencabar dan satu pengalaman baru pada saya", katanya yang memegang watak anggota paling muda dalam pasukan tentera di bawah pimpinan Huo An lakonan Jackie Chan.

Dedahnya, pada awal dia berasa gementar semasa hendak menerima tawaran berlakon dalam naskah epik berlatar belakang zaman Dinasti Han itu kerana sedia maklum ia sebuah filem antarabangsa dan juga filem bahasa Inggeris pertama lakonannya.  

Kredit foto FikryyoungKredit foto Fikryyoung

"Ini kali pertama saya berlakon dengan produksi luar. Sejujurnya, pada mulanya saya berasa risau untuk menerima tawaran ini kerana ini juga merupakan filem Inggeris pertama saya.

"Tapi pengarah memberitahu saya, jangan khuatir sebab kamu sebagai bangsa Dinasti Han. Bila diberitahu begitu saya lega," katanya yang mempunyai kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih.

Filem Dragon Blade dijadualkan tayangan di pawagam seluruh tanah air mulai 19 Februari ini.

- mD