Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 7pm

Malique Sangat Menakjubkan - Shae

..

Penyanyi Indonesia yang cukup popular dengan lagu Sayang, Shae, tidak menyangka menjadi pilihan komposer dan penerbit muzik tempatan, Malique Ibrahim sebagai artis yang berkolaborasi dengan anak didiknya, kumpulan Nukilan untuk menyanyikan lagu Rindu.

Terkejut dan teruja saat dimaklumkan berita itu, gadis kacukan Australia dan Riau berusia 21 tahun ini sewaktu mendapat tahu dia menjadi pilihan oleh bekas anggota Too Phat itu menyatakan dia tidak mengenali siapa sebenarnya Malique sehinggalah mendengar cerita daripada seorang saudaranya.

"Sebetulnya, saya tidak kenal dengan Malique tetapi selama ini saya banyak mendengar tentang dia. Selepas saya berjumpa dengan dia di sini pada tahun lalu dan kemudian apabila pulang ke Jakarta, saya beritahu kepada saudara saya yang Malique mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya.

"Saudara saya itu seorang rapper dan dia bertanyakan pada saya, adakah orang yang saya maksudkan itu Malique Too Phat? Saya kata ya.

"Dia teruja dan terus dia menceritakan segala-galanya tentang siapa Malique kerana dia adalah peminat Malique.

"Tentang lagu Rindu, pertama kali saya menyanyikan lagu itu terus saya rasa ia sangat sesuai dengan saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rindu di Damasara, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Meskipun kesempatan bekerja dengan Malique tidak mengambil masa lama, Shae menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pengalaman berharga. Bahkan, Shae mengaku kagum hasil karya Malique.

"Saya sebenarnya tertanya-tanya juga mengapa saya yang dipilih kerana difahamkan selain saya, ada calon artis lain dalam senarai pilihan Malique.

"Apapun, saya berbangga dan teruja dapat melibatkan diri dalam projek kolaborasi ini.

"Kesempatan bekerja dengan dia adalah satu pengalaman yang luar biasa. Malique seorang yang sangat menakjubkan dan saya kagum dengan karya dia," kata pemilik nama sebenar Sheryl Gething ini lagi dengan nada teruja.

Rindu nyanyian Shae dan Nukilan ini merupakan usahasama antara Warner Music Malaysia dan syarikat rakaman milik Malique iaitu Qarma Music.

Lagu itu adalah ciptaan Malique, Dedeq dan Tripdisz manakala lirik oleh Malique dan Dedeq ini menceritakan kisah cinta yang telah berakhir tetapi hati masih rindu sehingga mendambakan kekasih yang telah pergi jauh daripada sisinya.

Seperti yang diketahui, selain memiliki kelebihan mampu menghasilkan lirik, melodi dan rentak tersendiri pada setia karyanya, Malique juga adalah penerbit yang mementingkan kesempurnaan dan amat mengambil serius dalam memastikan melodi yang disampaikan mampu membawa pendengar ke satu dimensi baru.

Justeru, Rindu mengambil masa selama hampir dua bulan untuk disiapkan. Shae diterbangkan ke Malaysia untuk merakamkan lagu ini pada Disember tahun lalu.

Lebih menarik, lagu nyanyian Shae bersama Nukilan ini sekaligus mencipta sejarah semalam apabila tarikh 24 Februari, lagu tersebut buat pertama kalinya diputarkan serentak di semua corong radio Bahasa Malaysia tempatan tepat jam 2.42 petang.

"Buat masa ini, Rindu hanya akan dipromosikan di Malaysia. Ya, siapa tahu nanti pada masa hadapan jika Warner Music Malaysia dan Indonesia mempunyai perancangan untuk mempromosikan lagu ini di Indonesia pula atau, mungkin lagu ini hanya eksklusif untuk Malaysia," kata Shae lagi.

Dalam perkembangan lain, sebaik saja pulang ke Jakarta pada Khamis ini (esok), Shae akan sibuk dengan penggambaran filem terbarunya selama sebulan.

Namun, Shae enggan bercerita lanjut mengenai watak yang akan dilakonkan malah merahsiakan judul filem ketiganya itu kerana mahu memberi kejutan kepada peminatnya di Malaysia.

"Saya gembira kerana akhirnya lagu Sayang telah berjaya diperdengarkan di seluruh Indonesia yang mempunyai saingan banyak dan bukan senang untuk seorang artis seperti saya mahu mengukuhkan karier.


"Ia mengambil masa yang agak lama tetapi tapi kerja keras saya berhasil dan berjaya.

"Selepas ini saya akan sibuk dengan penggambaran filem terbaru dan akan melancarkan single terbaru," katanya.

- mD