Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 9am

Baim Minta Izin Daripada Mama - Elfira Loy

..

Selain kisah hijab, kehadiran aktor Indonesia, Baim Wong yang dikatakan sebagai ‘kekasih’ Elfira Loy turut serta meraikan majlis sambutan hari lahirnya bersama kelab peminat Elfiralovatics baru-baru ini menarik perhatian.

Masakan tidak, jejaka berusia 34 tahun itu sanggup terbang dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur demi memberi kejutan kepada Elfira.

Menyifatkan Baim sebagai sahabat baiknya, gadis berusia 21 tahun itu menolak spekulasi yang mendakwa mereka sedang bercinta.

“Sejujurnya, saya memang melihat tindakan Baim sanggup terbang dari Jakarta ke Kuala Lumpur demi membuat kejutan pada majlis sambutan hari lahir itu cukup istimewa. Namun, sebagai sahabat baik, saya kira tidak salah untuknya membuat kejutan.

“Saya tahu banyak pihak bertanya tentang status hubungan kami. Apa yang boleh saya katakan, Baim merupakan seorang sahabat baik,” katanya.

Terang Elfira lagi, dia mempunyai prinsip tersendiri apabila menyentuh soal hati dan perasaan. Katanya, bukan satu kesalahan jika dia tidak melabelkan status dalam perhubungannya dengan Baim.

“Saya kira bukan satu kesalahan kalau tidak meletakkan hubungan kami dalam status cinta atau pasangan kekasih. Jika ada perasaan sayang, ia hanya rasa sebagai kawan. Saya melihat persahabatan tidak akan putus, sebaliknya kalau hubungan itu berteraskan cinta yang andai suatu hari nanti berkecai, kita sendiri akan rasa kekok.

“Perkenalan kami sudah memasuki usia empat tahun dan setiap kali ditanya tentang cinta saya akan tetap dengan pendirian kami hanya kawan! Saya tahu sejarah dia bercinta dengan siapa sebelum ini, walaupun putus di sana, penghujungnya dia masih berkawan dengan saya.”

Tambah Elfira, hubungan cinta bukan hal yang besar dalam kehidupannya. Dia tidak pernah merasakan bercinta itu satu trend untuk dipatuhi yang akhirnya akan menyebabkan seseorang ketinggalan zaman. Bagaimanapun, dia bersedia seandainya jodoh itu datang pada usianya yang masih muda.

“Kalau tidak bercinta, itu bukan bermakna saya ketinggalan zaman. Namun, sebagai seorang perempuan, saya perlu sentiasa bersedia. Jodoh akan datang apabila bersedia, dengan siapa dan bila, semuanya sudah tertulis,” tegasnya.

Elfira mengakui sukar untuk menjalin percintaan jarak jauh, atas dasar itu juga dia meletakkan fasa hubungannya dengan Baim sebagai kawan. Andai kata jodohnya bersama jejaka tempatan, dia bersedia dan masih tetap berkawan dengan pelakon filem Pengantin Cinta itu.

“Saya menghormati cara dia menawan hati keluarga saya dan itu langkah terbaik untuk memulakan sebuah perhubungan. Dia pernah bertanyakan ibu saya adakah dia dibenarkan untuk menjalinkan hubungan serius dengan saya dan mama mengizinkannya. Usianya pun sudah 34 tahun, jadi saya memahami situasinya,” jelas Elfira.

sumber: Kosmo!