Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 2am

Wardina Tak Setuju Tanda Salib Taman Medan Diturunkan

..

Isu simbol salib gereja di Taman Medan yang yang mencetuskan pertikaian baru-baru ini turut mendapat perhatian selebriti juga aktivis Wardina Safiyyah yang sedia dikenali sebagai seorang yang berani dan lantang meluahkan pandangan mengenai sesuatu perkara atau isu semasa.

Meskipun pelakon yang cukup popular menerusi sitkom Spanar Jaya ini sekarang menetap di Australia kerana menyambung pengajiannya, dia masih mengikuti perkembangan isu semasa yang berlaku di sini.

Menerusi laman Facebook rasmi miliknya, Wardina meluahkan pandangan yang ternyata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan gesaan sesetengah pihak yang mahu tanda salib itu diturunkan.

Wardina menulis mengatakan tanda salib itu tidak perlu diturunkan sekaligus dia memohon maaf kepada penganut Kristian di taman itu kerana merasakan mereka dibuli dan hak kebebasan beragama golongan itu seolah-olah disekat sedangkan sejak di zaman Rasulullah lagi, umat Islam dan penganut Kristian boleh hidup bersama dalam keadaan harmoni.

"Saya harap salib itu kekal di situ. Tolong jangan turunkan. Saya memahami perasaan kenalan penganut Kristian di situ dan meminta maaf kerana kalian sering dibuli oleh sebilangan saudara seislam saya.

"Wahai saudara Islam semua, jadilah umat Islam yang sebenar-benarnya. Biarkan penganut agama Kristian juga mendapat hak kebebasan mereka.

"Kepada penganut Kristian Taman Medan, sampaikan salam saya kepada Paderi juga permohonan maaf saya. Kepada umat Islam di Taman Medan, sikap anda tidak menunjukkan yang anda umat Islam yang sebenar-benarnya.

Tambah Wardina lagi, dia terpanggil untuk menulis kenyataan itu kerana beliau sangat memahami perasaa menjadi golongan minoriti yang sering ditindas tanpa alasan yang benar-benar wajar lagi jelas.

"Saya tahu bagaimana rasa menjadi golongan minoriti dan bertapa sakitnya bila dibuli hanya kerana keimanan kita terhadap agama dan apa sebenarnya erti apabila kita mendapat sokongan daripada orang yang bukan beragama Islam dan bersama dalam solidariti.

"Apabila orang bukan Islam di Australia ini menyokong kami umat Islam, saya rasa sangat beryukur dan berterima kasih.

"Jadi, saya harap kami dapat menghulurkan sokongan kami kepada penganut Kristian apabila mereka di layan dengan begitu biadap oleh sebilangan 'saudara seislam kami sendiri," katanya.

..

..

Bagaiamanapun, pandangan Wardina itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut di laman Facebooknya itu. Ada yang bersetuju mahupun ada yang menempelak kenyataan selebriti berkenaan.

Merujuk pada insiden berkenaan, kira-kira 50 orang berhimpun membantah penggunaan tanda salib di sebuah gereja, sewaktu upacara keagamaan mingguan gereja itu sedang berlangsung.

Bantahan yang berlangsung di Taman Medan itu dianjurkan atas alasan tanda salib itu mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam.

Bagaimanapun, ia berakhir apabila pihak gereja bersetuju menurunkan lambang salib gergasi yang dipasang pada tingkap gereja yang terletak di tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai.

- mD