Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 2am

Daud Suka Berkepit, Lana Tak Tahan Sejuk

..

Meskipun bersedia mengikut suaminya, David @ Mohammad Daud McKenzie pulang ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), pelakon seksi Lana Nordin tidak berhasrat menetap di negara kelahiran suaminya itu.

Menurut Lana, Daud tidak boleh berenggang dengan dirinya kerana itu dia akan sentiasa menemani dan menyokong karier suaminya itu.

Daud merupakan jurulatih dan pemain bola tampar pasukan AS di peringkat Olimpik dan mempunyai akademi bola tampar di Singapura.

"Dia asyik nak berkepit jadi saya akan ikut dia ke mana saja. Selepas ini dia akan pulang ke Singapura untuk menguruskan akademinya di sana sementara saya masih lagi di sini.

"Pada awal Ramadan nanti baru kami akan pulang ke AS. Di sana kami tidak hanya akan tinggal LA, mungkin kerap berpindah misalnya ke San Fransisco dan kemudian ke New York. Kami akan kerap menjelajah bergantung kepada tuntutan kerjaya dia.

"Lagipun nanti dia akan sibuk dengan latihan dengan pasukannya untuk persediaan bagi pemilihan menyertai sukan Olimpik yang akan diadakan di Rio De Jeniero, Brazil tahun hadapan.

"Namun, saya tidak berhasrat mahu menetap terus di AS cuma saya boleh tinggal di sana dalam tempoh beberapa bulan dalam satu masa sebab saya tak tahan dengan cuaca sejuk dan tak boleh lama-lama sangat kalau tak makan nasi.

"Maklum sajalah di sana lebih kepada makanan barat. Tambahan, saya mungkin sukar mendapat kawan di sana," katanya ketika ditemui sejurus usai majlis pernikahannya  di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, semalam.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 35, sah bergelar isteri kepada David, 35, dengan sekali lafaz.

Pelakon filem Lagenda Budak Setan: Katrina itu menerima mas kahwin sebanyak AS$10, 000 (RM35,713).

Selain turut menerima hadiah istimewa daripada Daud iaitu dua bentuk cincin perkahwinan yang bernilai lebih RM100,000 dan kereta BMW 335 Sport.

Lana juga memberikan hadiah istimewa kepada Daud iaitu sebentuk cincin perkahwinan dan seutas jam tangan berjenama Cartier berharga RM25,000.

Sementara itu, Lana berkata, dia bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan menerima dirinya meskipun David mengetahui kisah kontroversi mengenai dirinya.

Katanya, sepanjang perkenalan, lelaki berdarah kacukan Inggeris-Filipina itu ada membaca banyak mengenai dirinya menerusi Internet termasuk mengenai kontroversi yang mengaitkan tentang diri Lana tetapi ia tidak menghalang cinta mereka.

"Alhamdulillah, walaupun selama ini saya selalu dikaitkan dengan macam-macam kontroversi, semua itu ada hikmahnya.

"Apa yang boleh saya katakan, doa saya sudah termakbul. Apa doa saya, itu biarlah saya dan Tuhan saja tahu.

"David banyak baca tentang saya di Internet tetapi dia berfikiran terbuka dan padangannya terhadap diri saya berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Lana menyatakan dia juga tidak berdepan dengan masalah dalam membimbing suaminya itu yang baru memeluk Islam sejak 5 Disember tahun lalu.

Katanya, Islam dan budaya hidup muslim bukan asing bagi Daud kerana dia pernah menetap di Timur Tengah selama 7 tahun dan terdedah dengan budaya dan cara hidup muslim.

"Daud ada usaha dia sendiri untuk dia sendiri mendalami Islam. Kalau ada sesuatu perkara yang dia tidak faham, dia akan google.

"Sebenarnya sebelum dia memeluk Islam, dia sudah banyak tahu tentang Islam dan cara hidup muslim sebab dia ada pengalaman menetap di negara Timur Tengah.

"Dia ramai kawan 'pak Sheikh'. Malah, apabila mereka tahu yang dia sudah memeluk Islam, mereka gembira. Cuma, mungkin budaya dan adat di setiap negara berbeza.

"Dia ada beritahu saya sewaktu zaman sekolah di AS, mereka ada belajar mengenai bukan saja kitab Bible tapi juga belajar pengetahuan asas tentang Islam," katanya yang juga kini mahu dikenali sebagai Lana Nodin McKenzie.

Beritahu Lana, Daud gemar masakan Melayu dan sedang dalam proses belajar dan memperbaiki pertuturannya dalam bahasa Melayu.

"Dia memang minat makan masakan Melayu. Dia juga belajar bercakap dalam bahasa Melayu.

"Sejak pertama kali saya bawa dia jumpa keluarga saya, dia peramah dan pandai ambil hati keluarga saya. Walaupun tidak pandai bertutur dalam Bahasa Melayu, tapi dia bersungguh cuba bercakap dalam bahasa Melayu.

"Keluarga terutama ibu dan ayah saya terhibur dengan gelagat dia yang beria benar mahu bercakap bahasa Melayu. Dia juga minta anak saudara saya ajarkan dia satu hari 10 perkataan baru," katanya sambil tersenyum memandang suaminya yang berada disisi.

- mD