Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Penyanyi Arab Suka Aksi Neelofa Dalam Kereta

..

Penyanyi Arab yang semakin menjadi sebutan ramai sejak kebelakangan ini, Humood AlKhudher, 26, tidak menyangka video rakaman aksinya di dalam kereta dan sedang menyanyikan lagu popularnya berjudul Kun Anta menjadi viral di Internet.

Menurut jejaka kelahiran Kuwait ini, dia terkejut apabila video tersebut mendapat lebih sejuta tontonan menerusi laman video sosial, Youtube sejak ia dimuat naik kira-kira dua bulan lalu.

"Ramai yang suka dengan lagu Kun Anta hingga menjadi viral dan tambah mengejutkan saya, ramai yang menonton dan 'like' video saya menyanyikannya di dalam kereta.

"Sebenarnya, itu bukan pertama kali saya rakam video dari dalam kereta tetapi itu video saya dalam kereta yang pertama menjadi viral," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Malam Inspirasi sempena Festival Karyaone Fita UiTM 2015 yang akan berlangsung pada 12 Jun 2015.

Pada konsert yang akan berlangsung di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam itu, Humood akan membuat persembahan buat pertama kalinya secara 'live' di hadapan peminat tanah air.

Selain itu, konsert tersebut juga dijayakan penyanyi terkenal, Amy Search dan Lah Ahmad.

Berkongsi lanjut mengenai sambutan hangat terhadap lagu Kun Anta, Humood menyatakan dia bersyukur sekaligus menyifatkan ia satu penerimaan luar biasa peminat terhadap lagu tersebut.

Malah, dia berasa gembira kerana ramai peminat Malaysia yang membuat parodi lagu tersebut termasuklah juga selebriti jelita, Neelofa.

Katanya, dia mengenali Neelofa sejak menonton parodi di dalam kereta oleh aktres itu menerusi laman sosial, Instagram.

"Saya tidak banyak tahu tentang muzik Malaysia tapi saya kenal penyanyi seperti kumpulan Raihan, Rabbani dan Yuna. Saya ada dengar lagu-lagu mereka.

"Saya juga tahu Neelofa tetapi belum pernah berjumpa lagi dengannya. Saya tahu namanya sejak saya tonton parodi video yang dilakukannya menerusi Instagram dan saya suka parodi itu.

"Saya difahamkan akan ada satu sebuah program dan saya akan berjumpanya (Neelofa) di sana nanti," katanya yang terbabit dengan program hiburan, Meletop.


Dalam pada itu, Humood juga menyatakan dia turut menerima tempias impak daripada populariti lagu berkenaan. dan kini semakin dikenali ramai serta bertambah peminat.

"Lagu Kun Anta memperkenalkan saya kepada ramai peminat termasuk kini saya punya ramai peminat di Malaysia.

"Walaupun sudah dikenali, saya cuba untuk tidak mengubah apa-apa tentang diri saya.

"Lagu Kun Anta itu sendiri maksudnya jadilah diri sendiri. Jadi, saya akan terus menjadi diri saya dan berharap peminat terus menyokng karier saya," kataya yang merancang mahu menghasilkan lebih banyak lagu berunsur inspirasi dan motivasi pada masa hadapan.

- mD