Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 9am

Saya Tak Boleh Kerja Tanpa Isteri - Izzue Islam

..

Sebelum ini pernah timbul dakwaan pelakon Izzue Islam, 25, terpaksa meletakkan syarat tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam mana-mana drama lakonannya ekoran sikap isteri yang juga merangkap pengurusnya, Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, dikatakan seorang yang kuat cemburu

Menyangkal dakwaan tersebut, Izzue menyatakan syarat tersebut adalah menjaga statusnya sebagai suami.

Namun, baru-baru ini dakwaan yang sama kembali berulang. Kali ini ada khabar mengatakan Awin meminta salah satu babak lakonan suaminya yang bergandingan dengan seorang pelakon wanita dibuang gara-gara kononnya pelakon wanita itu sengaja bersentuhan dengan Izzue.

Bahkan ketika insiden itu, Awin dikatakan seolah cuba menghentikan penggambaran serta merta.

Izzue yang nyata terkejut tatkla diminta mengulas mengenai gosip tersebut menyatakan tidak sepatutnya timbul pertikaian mana-mana pihak mengenai syaratnya itu.

Ini kerana, dia yakin ramai pihak sudah sedia maklum dengan syaratnya itu dan tidak sepatutnya timbul lagi isu.

"Saya rasa ramai pihak sudah sedia maklum dengan syarat saya itu. Jadi, perkara ini tidak sepatutnya lagi dijadikan isu atau ada mana-mana pihak mempersoalkannya.

"Dakwaan tersebut juga tidak benar sama sekali kerana setiap kali ada apa-apa tawaran, Awin selaku pengurus saya akan memaklumkan dan menjelaskan syarat saya itu kepada penerbit, pengarah juga pihak produksi.

"Jika mereka bersetuju dengan syarat saya itu, baru saya akan terima tawaran lakonan tersebut.

"Jadi, tidak timbul soal isteri lebih berperanan di set lokasi penggambaran kerana syarat itu dipersetujui kedua pihak sejak sebelum penggambaran.

"Isteri saya adalah pengurus saya dan apabila di set lokasi dia adalah pengurus peribadi saya dan di rumah dia isteri saya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama telefon pintar China terkemuka, Vivo di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Awin yang berada di sisi Izzue menyatakan dia tidak ambil pusing akan tuduhan kononnya dia mengongkong suami.

Sebaliknya, menganggap dakwaan tersebut sesuatu yang normal memandangkan dia adalah isteri yang dan pada masa sama menguruskan kerjaya suaminya.

"Perkara itu normal. Begini, kebanyakan produksi akan menghubungi saya setiap kali mereka mahu menawarkan apa-apa tawaran kepada Izzue.

"Jadi, sebagai pengurus saya yang bertanggungjawab membuat segala urusan perjanjian mewakili artis saya termasuk saya beritahu syarat artis saya.

"Kalau sejak sebelum sain kontrak lagi syarat itu sudah dipersetujui jadi tentulah pengarah sedia maklum dan akan mengolah mana-mana babak dalam skrip yang mungkin tidak menepati syarat berkenaan. Sekaligus tidak menimbulkan masalah untuk artis saya meneruskan lakonannya.

"Mungkin sebab saya isteri juga sebagai pengurus dia. Mungkin ada pihak yang faham dan mungkin ada juga yang tidak faham.

"Kalau saya bukan isteri dia, mungkin orang akan lebih mudah terima tetapi kita tidak boleh nak puaskan hati semua orang," katanya.

Meskipun dilemparkan dengan bermacam-macam tuduhan, Awin menyatakan dia akan tetap menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Izzue.

"Saya tidak akan berhenti mengguruskan Izzue hanya kerana cakap-cakap orang. Saya akan tetap terus ikut dia ke set penggambaran sepertimana artis-artis lain membawa pengurus peribadi (PA) mereka masing-masing," tuturnya.

Celah Izzue pula: "Saya tak boleh kerja kalau dia tidak uruskan saya, saya perlukan dia.

"Saya tidak salahkan sesiapa cuma harap perkara ini sudah jelas dan tidak timbul lagi isu pada masa akan datang".

- mD