Sun11192017

LAST_UPDATESun, 19 Nov 2017 10am

Isteri Tak Suka Tonton Lakonan Josiah Hogan

Kredit foto Faisol MustafaKredit foto Faisol Mustafa
Bagi peminat-peminat drama tempatan, pasti wajah lelaki ini bukan asing. Josiah Padilla Hogan atau nama islamnya Mohamad Musleh, 27, antara pelakon lelaki masa kini yang semakin menyerlah. Lebih-lebih lagi dengan wataknya sebagai doktor Hud menerusi drama Cinta Jangan Pergi yang kini sedang hangat ditayangkan di saluran TV9. Dengan imejnya yang segak bergaya dan sungguh budiman dalam drama tersebut, hati siapa yang tidak tertawan, kan?
 
Impak karakter doktor Hud, tidak dinafi aktor berdarah kacukan Amerika-Latin ini menjadi kegilaan ramai gadis. Selain itu Josiah juga pernah muncul dalam drama antaranya, Bicara Hati, Projek Pop, Cinta Si BungaTembam, Tangisan Langsuir dan Disapa Izrael
 
Kalau peminat ramai yang menanti-nantikan drama lakonannya bagaimanapun Josiah mendedahkan yang isterinya, Nurul Hidayu Noordin, langsung tidak suka menonton drama-drama lakonannya. 
 
"Isteri saya okay dengan status saya sebagai seorang pelakon. Cuma, dia memang tak tengok drama-drama saya (gelak). Sejak kami kenal, bercinta hinggalah sekarang kami dah kahwin, dia sendiri beritahu saya yang kalau drama yang saya berlakon, memang dia tak tengok drama tu. 
 
"Hanya sekali jer dia pernah tengok, drama Cinta Hero Malaya, saya bergandingan dengan Scha Al-Yahya. Itu pun, dia tengok sebab dalam drama tu saya berlakon watak 'adik-adik' (lelaki lembut). Isteri saya ni dia memang suka bahan (mengusik) saya. Tapi kalau drama romantik lagi lah dia  memang tak tengok.  Sebabnya...? Macam ni lah, cemburu tu tandanya sayang, kan. Tapi saya tak kisah pun kalau dia tak tengok drama saya", katanya yang baru saja bernikah pada 25 Mei lalu.
 
Mendirikan rumahtangga bersama Nurul Hidayu, ini merupakan perkahwinan kali kedua Josiah. Sebelum ini dia pernah berkahwin ketika di usia 19 tahun. Hasil perkongsian hidup dengan isteri terdahulu, dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Irvine Hogan yang kini berusia 7 tahun. Namun jodoh mereka tidak berpanjang dan akhirnya bercerai atas sebab tiada persefahaman. 
 
Selama tiga tahun hidup menduda, Josiah akhirnya bertemu Nurul Hidayu. Kata Josiah, dia tertarik dengan jururawat yang bertugas di sebuah hospital di Kuantan, Pahang itu kerana dia pandai memasak, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri perempuan Melayu terakhir. Lalu membuka pintu hatinya untuk menyunting gadis berusia 23 tahun itu sebagai suri hatinya. 
 
..
 
"Allhamdullilah. Ya kami baru kahwin, sama hari dengan perkahwinan kali ketiga Ustaz Azhar Idrus", katanya dengan nada bergurau. 
 
"Saya memang suka pada perempuan yang ada ciri yang orang kata, perempuan Melayu terakhir lah. Pandai masak, hormat orang tua. Tapi kami belum sempat lagi pergi berbulan madu. Tapi dalam bulan ni, saya dan band muzik saya, Maddame, ada persembahan di Pulau Pinang. Jadi saya akan bawa dia sekali dan kami akan berbulan madu di sana. Saya ada juga bercadang nak bawa dia berjumpa datuk dan nenek saya yang tinggal di Texas, Amerika. InsyaAllah kalau kami murah rezeki nanti", katanya.
 
Josiah bernikah di rumah pengganti perempuan yang terletak di Kuantan. Sementara majlis resepsi pihak perempuan diadakan sehari selepas mereka dijabkabul. Kemudian majlis sebelah pihak lelaki diadakan pada hari berikutnya. Memandangkan isterinya dalam proses bepindah tempat bertugas di Kuala Lumpur, buat masa ini asalkan ada kelapangan, dia akan pulang ke Kuantan menjenguk isterinya.
 
Berkongsi detik perkenalan, Josiah berkata sebetulnya perkenalan dia dan isteriya itu langsung tidak dirancang. Bermula menerusi perkenalan di sebuah majlis hari jadi temannya, lama-kelamaan mereka intim dan bercinta. Josiah bersyukur kerana selain dihadirkan isteri yang penyabar dan memahami, anak lelaki tunggalnya juga sangat mesra dengan Nurul Hidayu.
 
"Anak saya okay. Saya hantar anak saya ke sekolah Cina. Kebetulan isteri pun boleh cakap Mandarin. Jadi, dia selalu bantu anak saya buat kerja sekolah dan mereka jadi rapat", katanya. 
 
Bercerita serba sedikit tentang dirinya, Josiah memberitahu ibunya seorang wanita berdarah Latin dan berkahwin dengan ayah tirinya yang berasal dari negeri Kelantan.
 
..
 
"Sebelum ibu saya berkahwin dengan ayah tiri saya, saya dan ibu dah memeluk Islam. Ketika tu ibu saya berusia 24 tahun dan saya pula berusia 4 tahun. Jadi kalau saya tak duduk Malaysia pun, saya tetap Islam. Kemudian ibu berkahwin dan kami mengikut ayah tiri saya tu balik ke Malaysia. 
 
"Saya bersekolah di Kuantan dan dikelilingi kawan-kawan Melayu. Mungkin itu yang membuatkan saya selesa dan senang berbahasa Melayu. Saya boleh juga cakap Kelantan. Sayangnya saya tak tahu cakap dalam bahasa Latin. Mak saya kata, dia pun menyesal tak ajar saya cakap bahasa Latin" ujarnya sambil turut memberitahu menantikan tawaran watak yang memerlukan dia bercakap dialek orang-orang Pantai Timur.
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Josiah kini sedang menyudahkan penggambaran drama bersiri What If sehingga pertengahan Jun. Drama seram dan suspen thriller arahan Jehan Miskin itu bakal ditayangkan di 8TV bermula 5 Jun (setiap Rabu) ini, jam 10.00 malam.
 
 
- mD