Sun05282017

LAST_UPDATESat, 27 May 2017 9pm

Ada Pihak Cemburu Ramona dan Suami Tayang Kemesraan

..

Pelakon Ramona Zamzam meluahkan rasa terkilannya apabila ada pihak mula mencemburui hubungan mesranya dengan suaminya, Rami Alashkar, gara-gara mereka kerap memuat naik aksi mesra di laman sosial Instagram.

Katanya, ada pihak yang mula mengandaikan yang bukan-bukan termasuklah timbulnya dakwaan mengatakan kononnya mereka belum bersedia atau menolak kehadiran cahaya mata biarpun sudah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.

Dakwaan itu lebih kuat diperkatakan apabila dia dan suami dilihat kerap bercuti ke luar negara seolah-olah masih belum puas menikmati percutian bulan madu umpama pasangan baharu berkahwin.

"Setiap orang yang mendirikan rumahtangga pasti ada impian untuk memiliki cahaya mata dan ia tidak terkecuali buat saya dan suami, cuma bukan pada waktu ini.

"Saya dan suami sememangnya suka melancong dan kesempatan ini kami ambil sementara belum mempunyai cahaya mata kerana kami tahu bila mempunyai anak nanti, komitmen kami akan lebih tertumpu kepada anak,"

"Disebabkan mereka melihat saya dan suami kerap bercuti bersama dengan aksi mesra di laman Instagram, ramai yang mula mengandaikan yang bukan-bukan sedangkan mereka tidak mengenali kami," katanya seperti yang dilaporkan mStar online.

Mengenai perkembangan kerjaya, Ramona baru sahaja selesai dengan rakaman program Perang Bibir. Selain itu dia kini sedang menjalani penggambaran drama, Hola Hermasa dan akan menjalani penggambaran sebuah lagi drama berjudul Jangan Tunggu Aku.