Sat04292017

LAST_UPDATEFri, 28 Apr 2017 10pm

Kamal Adli Sedia Berkahwin Dengan Emma Maembong

TANPA berdolah-dalih, pelakon Kamal Adli akui sudah sedia menamatkan zaman bujangnya sekaligus memperisterikan kekasih hatinya, Emma Maembong.

Namun, Kamal tidak dapat berkongsi tarikh yang tepat untuk perkahwinannya itu dan menyerahkan perihal jodoh kepada Tuhan

“Jika ikutkan hati, saya sudah lama bersedia untuk berkahwin. Namun saya menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.

“Saya bersyukur keluarga juga tidak pernah memberikan sebarang tekanan berhubung soal itu.

“Kami menjalinkan hubungan yang matang dan tiada sorok-sorok. Jika ada jodoh, kami menerimanya. Cuma, kami rasa lebih selesa andai perhubungan ini kurang menjadi bualan ramai.

“Apatah lagi ada segelintir pihak yang suka membandingkan pasangan pelakon lain dengan kami. Takut nanti dibenci orang,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita mengenai kekasih hatinya itu, Kamal menyifatkan Emma sebagai wanita yang telah mengajarnya supaya menghargai pasangan.

“Alhamdullilah sepanjang berkawan rapat dengan Emma, dia membuka mata saya untuk menjadi lelaki yang bersyukur dan menghargai kehadiran pasangan kita.

“Janganlah pada awal perkenalan saja kita bersungguh-sungguh cuba mengambil hati dan selepas berada di zon selesa, kita mengabaikannya. Itulah diri saya sebelum ini,” katanya.

“Percayalah, jika seorang lelaki sentiasa menghargai dan prihatin terhadap pasangannya, si dia takkan meninggalkannya, malah dia lebih yakin bahawa lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu calon terbaik untuk menjadi suaminya,” katanya.

Pasangan ini sudah menyulam cinta hampir tiga tahun.

Pastinya, Kamal mengharapkan pengakhiran yang baik dalam perhubungan dengan aktres jelita itu. Agaknya apa pula kata Emma, adakah dia sudah bersedia bergelar isteri?

- mynewshub.cc