Tue09192017

LAST_UPDATEWed, 20 Sep 2017 8am

"Sudah Pergi Berbulan Madu, Kenapa Ragu-ragu?"

Ray Imran (gambar kiri). Hafiz dan isterinya Joy Revfa (gambar kanan).Ray Imran (gambar kiri). Hafiz dan isterinya Joy Revfa (gambar kanan).

Semalam, menerusi satu sidang media khas, penyanyi Hafiz Hamidun akhirnya membuat penjelasan mengenai kontroversi perkahwinannya dengan Siti Arifah atau dikenali Joy Revfa.

Antara pendedahan yang dibuat Hafiz, Joy Revfa tidak menyerahkan dokumentasi cerai (dengan suami terdahulu) walhal usahawan kosmetik itu berjanji akan menyerahkannya sebaik saja selepas mereka bernikah.

Justeru disebabkan timbul keraguan (mengenai status perkahwinan Siti Arifah terdahulu), Hafiz bertindak menjauhkan diri yang boleh menimbulkan masalah pada masa akan datang.

Akuinya, dia tidak pernah melakukan hubungan kelamin dengan wanita itu sejak mereka bernikah pada 1 Mei lalu. Hafiz menganggap lebih wajar menyelesaikan masalah yang timbul sebelum menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Sementara itu, menerusi laporan BH online, Datuk Ray Imran, iaitu bekas suami Siti Arifah Mohd Amin atau Joy Revfa, mempersoal niat penyanyi, Hafiz memanjangkan kontroversi perkahwinannya.

Ray atau nama sebenarnya, Mohd Rayos Abdul Rahim, kesal dirinya terpalit dalam kontroversi itu sedangkan dia sudah memberi kerjasama sebelum pasangan itu bernikah, Mei lalu.

Ray turut mempersoal mengapa Hafiz merasa ragu-ragu sedangkan penyanyi itu dan Joy berbulan madu sambil menjayakan program terbitan syarikat televisyen (TV) swasta di Taiwan, baru-baru ini.

"Sudah pergi berbulan madu di Taiwan, kenapa ragu-ragu? Jika benarlah Joy tidak pandai memberikan kerjasama menyelesaikan masalah, dia sebagai suami perlu bertindak lebih matang.

"Biasalah perempuan kalau rasa diabaikan, mereka beremosi," katanya.