Sat10212017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Fazley Kerja Cuci Tandas, Basuh Pinggan Sebelum Jadi Pakar Masak

..

Selebriti cef, penyanyi, personaliti televisyen, pelakon dan penceramah motivasi, Datuk Fazley Yaakob pernah bekerja sebagai pencuci tandas dan pencuci pinggan di sebuah restoran India demi menambah duit poket untuk membayar pengajiannya ketika menuntut di New Zealand.

Mengimbas pengalaman tersebut, Fazley, 39, berkata sambil bekerja, kadangkala dia 'mencuri' peluang membuat pemerhatian sendiri dan dalam diam-diam dia mempelajari mengenai masakan makanan tradisional India.

"Selama ini ramai ingat asas saya adalah Perancis tetapi sebenarnya ramai tidak tahu, asas saya dalam bidang kulinari adalah masakan India. Perancis adalah teknik pembelajaran saya dalam kulinari.

"Ketika usia 18 tahun semasa itu saya belajar di New Zealand, saya pernah bekerja separuh masa sebagai pencuci tandas di sebuah restoran India. Beberapa bulan selepas itu saya dinaikan pangkat jadi pencuci pinggan, gaji ketika itu 10 dolar sejam dan sehari saya bekerja selama lapan jam.

"Kemudian saya dapat jadi pencuci di bahagian depan iaitu tugas saya seperti membersihkan meja-meja dan mengemop lantai Dan akhir sekali, saya ditugaskan menebar roti canai. Jadi sepanjang bekerja sambil-sambil itu saya belajar sendiri mengenal rempah-rempah. Kadang-kadang kalau cef tiada saya yang kena masak. Sehingga sekarang, kalau nak suruh saya masak kari atau tebar roti canai, saya masih ingat lagi caranya," katanya sambil tersenyum.

Fazley berkongsi cerita tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran portal E-Dagang Jaya Grocer dan pelantikannya sebagai duta pasaraya itu, bertempat di pusat membeli The Starling, pada Rabu.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihannya sebagai duta pasaraya tersebut, Fazley menganggap ia sebagai tanggungjawab baharu kerana secara tidak langsung dia mewakili pelbagai jenama dan produk yang dijual di pasaraya berkenaan.

"Apabila diberi kepercayaan untuk mempromosikan pasaraya ini, tanggungjawab saya bukan saja sebagai cef tetapi jurucakap produk untuk peringkat antarabangsa. Tambahan, sebelum saya jadi duta, sebenarnya hampir 99 peratus bahan masakan yang saya gunakan untuk memasak di restoran saya, saya menggunakan produk yang dijual di sini," katanya.

Dalam pada itu, Fazley memberitahu pada masa akan datang dia berhasrat mahu memperkenalkan masakan tradisional Melayu yang lain seperti sambal tempoyak, cencaluk, budu di peringkat antarabangsa.

"Sebenarnya makanan ini juga sudah wujud di Perancis, cuma bangsa lain di luar mereka jarang menikmati makan yang dikategorikan sebagai makanan yang diperam ini. Jadi saya mahu memberitahu kepada mereka bahwa, makanan Malaysia lebih dari sekadar nasi lemak.

"Makanan Malaysia terutama masakan Melayu kampung sangat unik dan berbeza dan itu yang saya selalu tunjukkan setiap kali saya melakukan jelajah masakan di luar negara. Setiap kali saya melakukan demo masakan di luar negara, orang di sana rata-ratanya suka makan masakan masak lemak cili api dan rendang campur," tuturnya yang baru baru ini menerima anugerah Alumni Paling Cemerlang Le Cordon Bleu.

Perkembangan lain, dia bakal muncul menerusi rancangan masakan Asian Food Channel tidak lama lagi. Minggu depan Fazley akan berangkat ke Chennai untuk menjalani penggambaran program travelouge dan memasak masakan tradisional India.

Biarpun sibuk dengan kerjaya di bidang kulinari dan perusahaan restorannya, Fazley berkata dia tetap tidak meninggalkan kerjaya seni. Selepas single Ketiadaan mendapat sambutan yang mengalakkan, Fazley dalam perancangan untuk muncul dengan single terbaharu dalam bahasa Mandarin.