Fri12152017

LAST_UPDATEFri, 15 Dec 2017 12pm

Ada Niat Mahu Beli Rumah di Malaysia

..

Sudah menganggap Malaysia seperti rumah keduanya, pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Irwansyah mengakui dia ada terfikir mahu membeli kediaman di negara ini.

 

Menurut penyanyi yang satu ketika dahulu cukup popular dengan lagu Pecinta Wanita ini, dia tiada masalah sekiranya perlu berulang alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta demi memenuhi tuntutan kerjaya seni. Tambahan kini, isterinya, Zaskia Sungkar turut menyukai suasana di sini malah sering mengajaknya datang ke sini untuk bercuti.

Katanya lagi, dia juga merancang mahu mengembangkan cawangan perniaagannya di sini yang diusahakan bersama sahabat baiknya, aktres jelita Laudya Cynthia Bella.

"Malaysia sudah seperti rumah kedua saya. Kalau dulu, kira-kira 10 tahun lalu, ketika masih aktif menyanyi saya kerap berkunjung ke sini untuk mengadakan persembahan pentas. Dalam sebulan hampir empat kali.

"Begitu juga dengan isteri saya, dia pertama kali datang ke sini sewaktu mengikut saya menjalani penggambaran drama Dia. Katanya, dia suka suasana di Malaysia dan selalu mengajaknya datang ke sini untuk bercuti. Lagi-lagi sekarang sahabat kami, Bella, kan sudah ada di sini. Kalau ada rezeki saya juga ingin mengembangkan perniagaan yang saya jalankan bersama Bella iaitu kek diberi nama Bandung Makuta.

"Jadi nanti kalau dengar ada rumah hendak dijual, beritahu saya ya," tuturnya secara berseloroh.

Barisan pelakon drama Dia. Barisan pelakon drama Dia.

Irwansyah, 32, ditemui pada majlis pelancaran drama Dia di One Utama, kelmarin. Drama 60 episod arahan Eoon Shuhaini itu akan ditayangkan bermula 14 Oktober ini di slot Akasia, TV3. Selain Irwan, drama tersebut dijayakan barisan pelakon hebat tanah air seperti Janna Nick, Izara Aishah dan Adi Putra, Zamarul Hisham dan ramai lagi.

Sementara itu, tatkala diminta mengulas mengenai khabar angin mengatakan dia dibayar RM1 juta untuk terlibat dalam drama tersebut, Irwan sambil tersenyum berkata, dia bersyukur kerana menerima bayaran yang lumayan namun nilainya tidak mencecah RM1 juta seperti yang didakwa.

"Ya, lumayan. Allhamdulillah rezeki dari Allah. Tapi bayarannya tidaklah sampai RM1 juta. Tetapi ia berbaloi dengan komitmen yang saya berikan sepanjang menjalani penggambaran selama tiga bulan di sini," katanya.

Tidak mahu terus disalah anggap mengenai soal bayaran, Irwan menjelaskan faktor utama yang membuatkan dia menerima tawaran menjayakan drama tersebut kerana mahu menebus kembali peluang yang pernah dilepaskan suatu ketika dulu disamping menimba pengalaman baharu bekerjasama dengan produksi tempatan serta barisan pelakon tanah air.

Meskipun berdepan sedikit kesukaran dari segi dialek bahasa namun Irwan berkata ia seronok sepanjang penggambaran malah ada antara pelakon yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.

"Sebenarnya bukan soal bayaran, tetapi saya terima tawaran ini kerana mahu merasai pengalaman baharu bagaimana rasanya bekerja dengan produksi juga pelakon-pelakon di sini.

"Dulu pernah saya ditawarkan berlakon di sini tetapi pada ketika itu jadual saya sibuk kerana banyak projek saya di Indonesia. Tetapi kebetulan sekarang saya punya banyak masa selain menguruskan perniagaan jadi kali ini saya tidak lepaskan lagi peluang yang datang.

"Perbezaan ketara antara produksi di sini dan negara saya ialah kalau di sini krunya sedikit berbanding di Indonesia kira-kira 40 hingga 60 orang. Jadi kalau di sini penggambaran untuk satu episod mengambil masa dua hingga tiga hari berbanding di sana hanya satu hari," katanya.

Pegang Syarat Zaskia

Irwansyah dan Janna Nick bergandingan dalam drama Dia.Irwansyah dan Janna Nick bergandingan dalam drama Dia.

Ditanya pula mengenai lakonan babak romantik bersama Janna dan Izarah, Irwan berkata dia tidak mempunyai masalah namun dia berpegang pada syarat yang dikenakan Zaskia yang melarangnya melakonkan adegan berpelukan dan bercumbuan.

"Saya selesa dan tidak mempunyai masalah berlakon bersama mereka. Saya berlakon drama ini juga atas izin isteri tetapi dia meletakkan syarat seperti tidak boleh berpelukan dan cium. Tapi kalau setakat bersentuhan tangan itu masih boleh.

"Saya pun sudah ceritakan pada Zaskia mengenai drama ini dan saya percaya dia memahami kerja saya. Lagi pun saya masih tahu batas-batas sebagai seorang suami," tuturnya sambil tersenyum.