Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 8am

Hana Tuntut Ganti Rugi, Watie Hanya Mampu Bayar RM2,500

..

Menerusi laporan Harian Metro, pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Watie Sadali mengakui bahawa dia hanya mampu membayar RM2,500 sebulan sebagai penyelesaian bayaran tuntutan ganti rugi rakan sekumpulannya, Hana.

 

Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 41, berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali, semalam.

Prosiding itu adalah bagi menentukan jumlah dan cara yang boleh dibayar Watie selepas di dalam prosiding sebelum ini, dia mengakui tidak mampu membayar ganti rugi sebanyak RM707,351.83 yang dituntut oleh Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan, 39.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 25 Oktober ini untuk membuat keputusan selepas selesai mendengar keterangan Watie.

Terdahulu Watie memberitahu mahkamah bahawa pendapatan tahunannya sejak 2015 sehingga sekarang tidak menentu dan hanya bergantung kepada dunia lakonan.

"Berpandukan kepada penyata bank milik saya, jumlah pendapatan pada 2015 hanyalah RM69,610 manakala pada 2016 hanya RM34,200. Manakala bagi 2017 dari Januari hingga Jun hanya RM2,500 yang dimasukkan ke dalam akaun.

"Tahun ini saya akui ada terima bayaran RM900 sehari bagi 40 episod drama bersiri. Ia diterima secara tunai tetapi itu saja yang diterima. Pendapatan saya tidak menentukan kadang-kadang RM5,000 atau RM12,000 bergantung kepada apa yang saya buat," katanya.

Watie berkata, dia juga mempunyai komitmen bayaran bulanan antaranya bayaran kereta, sewa rumah, insuran keluarga dan bil utiliti serta perbelanjaan harian.

"Semua bayaran di kongsi bersama dengan suami. Jika saya ada duit, saya akan bayar dan jika suami ada duit, dia yang akan bayar.

"Saya tidak mempunyai simpanan dan saya tidak rasa akan memperoleh sebarang pinjaman jika mahu menyelesaikan hutang Hana secara langsai. Saya sanggup buat pinjaman jika itu boleh menyelesaikan hutang itu tetapi pelakon seperti saya tidak mungkin,” katanya.

Turut hadir, suaminya Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey.

Hana sebelum ini memfailkan saman terhadap Watie ekoran kegagalan rakannya itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya (Hana) untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Hana mendakwa dia membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 sekitar September 2005 untuk membiayai pembelian kereta itu bagi kegunaan Watie yang ketika itu tidak layak membuat pinjaman.

Mereka ada menandatangani Perjanjian Serah Guna Kenderaan bertarikh 26 September 2005 yang antara lain pengguna kenderaan itu bertanggungjawab menyelesaikan segala hal berkaitan kenderaan itu.

Hana mendakwa, Watie yang menggunakan kereta itu gagal membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.

Akibatnya, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.